Zahid sahkan 1 lagi militan warga Malaysia terbunuh di Marawi

Zahid

SEREMBAN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan seorang lagi rakyat Malaysia terbunuh dalam pertempuran di bandar Marawi, Filipina, menjadikan jumlah keseluruhan 3 rakyat Malaysia yang terbunuh.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata identiti warga Malaysia yang ke-3 masih dalam siasatan.

“Saya mengesahkan kenyataan yang dibuat panglima Angkatan Tentera Filipina. Kita akan mendapatkan perincian orang yang ke-3 ini,” katanya kepada pemberita pada Program Penerapan Nilai-nilai Murni warga Kementerian Dalan Negeri (KDN) peringkat negeri di sini hari ini.

Pihak berkuasa Filipina sebelum ini mengesahkan rakyat Malaysia yang terbunuh dikenal pasti sebagai Kamsa Yahya dari Kedah dan Abdurahman Asmawi dari Kelantan.

Ketiga-tiga mereka terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Filipina di Bandar Marawi, minggu lepas.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata berlaku asimilasi dalam kalangan 200,000 penduduk bandar Marawi, berikutan terdapat pengganas menggunakan bandar itu sebagai pangkalan untuk membentuk kerajaan yang dipanggil “Kerajaan Khalifah Pemerintahan Islam”.

Beliau difahamkan tidak kurang daripada 400 orang pengganas dari dalam dan luar negara berada di bandar Marawi.

“Saya sekali lagi mengingatkan jika ia tidak dibendung, keganasan akan berlaku di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Zahid khuatir kehadiran militan di negara ini susulan usaha pemburuan pihak berkuasa di bandar Marawi yang mungkin menyebabkan mereka menyeberang terutama ke Sabah atau di kawasan lain di negara ini.