Azmin: Patuhi garis panduan Jais di masjid dan surau

azmin-jais-2

SHAH ALAM: Pemimpin politik di Selangor perlu patuh terhadap garis panduan yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung penganjuran majlis di masjid dan surau bagi menjaga kesucian rumah ibadat orang Islam.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata garis panduan perlu dipatuhi semua pemimpin politik beragama Islam dan bukan Islam sebagai menghormati fungsi utama masjid dan surau sebagai tempat beribadah serta menyatupadukan umat Islam.

“Sebarang majlis anjuran wakil rakyat boleh dilakukan di masjid dan surau tetapi biarlah ia dilakukan di perkarangan kawasan berkenaan sahaja, bukan di ruang solat.

“Berhubung isu tindakan Ahli Parlimen Subang R Sivarasa di sebuah masjid di Subang minggu lepas, saya mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bagi menjelaskan keadaan yang berlaku,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Sivarasa didakwa mencemarkan kesucian Masjid An Nur Kampung Melayu Subang dekat sini, apabila memberi ceramah berkaitan politik di masjid itu, Rabu lalu.

Wakil rakyat PKR itu bagaimanapun menafikan beliau memberi ceramah di masjid berkenaan, sebaliknya menyatakan hanya menyampaikan ucapan ringkas mengenai komitmen kerajaan Selangor untuk terus membimbing institusi surau dan masjid di negeri berkenaan.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR, berkata Sivarasa juga ada menemui beliau bagi menjelaskan keadaan yang berlaku, namun, menteri besar itu enggan memberitahu butir penjelasan berkenaan.

Azmin turut menjelaskan, Sivarasa bukan mewakili beliau di majlis berkenaan tetapi ia majlis anjuran pejabat ahli Parlimen itu sendiri.

Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Haris Kasim dilaporkan sebagai berkata Sultan Sharafuddin murka dan dukacita terhadap tindakan ahli Parlimen itu yang didakwa memberi ceramah berkaitan politik di masjid berkenaan.

Menurut Haris, perkara itu dimaklumkan kepadanya secara peribadi oleh baginda sendiri yang turut menitahkan supaya Jais mengambil tindakan segera terhadap nazir serta pihak penganjur.

Beberapa gambar kehadiran Sivarasa ke masjid berkenaan turut tersebar sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati NGO pro-kerajaan.