Dr M bidas tindakan pihak berkuasa terhadap Lee Kim Yew

mahathir-Lee-Kim-Yew2KUALA LUMPUR: Menggambarkan siasatan cukai terhadap ahli perniagaan Lee Kim Yew sebagai kisah sedih, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan itu menunjukkan “betapa rendah kerajaan Malaysia, perdana menteri dan penjawat awam”.

“Cukai yang dikenakan ke atas wang tanpa sebab yang sah seperti perompakan di siang hari,” kata bekas perdana menteri itu dalam catatan blognya hari ini.

Beliau berkata kesediaan Lee membayar cukai ditolak selepas beberapa rundingan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang bersetuju dengan termanya tetapi “kemudian memungkiri perjanjian itu”.

Pengerusi PPBM mengulas surat Lee yang mendakwa dirinya disiasat di bawah undang-undang jenayah dan bukannya undang-undang sivil, menyebabkan beliau terpaksa mencairkan aset untuk menyelesaikan bil cukai pendapatan.

Lee, Pengerusi Eksekutif Country Heights Holdings Bhdd (CHHB) dalam suratnya berkata: “Saya mahu kawan-kawan tahu saya tidak ada sebarang liabiliti cukai peribadi. Malah, saya ada lebihan kredit cukai dengan LHDN.”

Lee dipetik The Star sebagai berkata: “Pandangan saya mengenai LHDN mudah, saya percaya membayar cukai tanggungjawab sivik dan saya tidak kisah membayar cukai, walaupun bukan cukai saya. Saya percaya kesediaan itu ditunjukkan dengan membantu syarikat menyelesaikan cukai RM20 juta sejak saya mengambil alih jawatan pengerusi eksekutif CHHB.”

CHHB baru-baru ini mengumumkan LHDN merampas deposit tetap RM126 juta milik Lee di sebuah bank milikan asing. Lee fahami perkembangan itu berkaitan dengan liabiliti cukai anak syarikat milikan penuh CHHB, Country Heights Sdn Bhd (CHSB).

CHHB berkata liabiliti cukai keseluruhan CHSB bagi tahun taksiran 1997 dan 1998 mencecah RM22.5 juta.

The Star memetik Lee sebagai berkata penggunaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) atau Akta 613 untuk menyiasat cukainya suatu penghinaan terhadapnya.

Dr Mahathir hari ini berkata kes ini kes wang yang diperoleh melalui perniagaan sah dalam simpanan “mangsa” dilabel sebagai wang yang diperoleh melalui perbuatan jenayah dan “mangsa” akan didakwa di bawah Amla.

Di bawah akta itu, seseorang boleh ditangkap, ditahan dan didakwa di mahkamah.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata RM126 juta itu “tidak syak lagi akan menjadi sebahagian daripada hasil kerajaan dan akan dibelanjakan.”

Jika didapati “mangsa” tidak melakukan sebarang pengubahan wang dan wang tersebut perlu dipulangkan, kerajaan sudah menggunakan semua wang itu secara percuma sementara “mangsa” akan kehilangan perolehan deposit tetap.

Kerajaan tidak akan membayar sebarang faedah ke atas cukai dan mendapatkannya kembali akan mengambil masa bertahun-tahun, tambahnya.

Dr Mahathir berkata: “Ada banyak kejadian di mana cukai dikenakan secara salah dan ancaman senarai hitam atau merampas pasport dibuat.”

Beliau berkata syarikat dan individu diganggu untuk membuat pembayaran, dan menambah ia seolah cara kerajaan “menndapatkan dana dan menghalang parit pembangkang mendaptkan dana untuk pilihan raya”.

Beliau mempertikaikan mengapa tiada siasatan Amla dilakukan terhadap RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir pernah mendakwa rakan dan mereka yang dianggap mempunyai kaitan dengannya diganggu kerajaan, termasuk melalui LHDN.

Beliau mengakhiri blog dengan soalan: “Quo Vadis Malaysia?”