Menteri bimbang pembaziran makanan meningkat di bulan Ramadan

ku-nan

PUTRAJAYA: Analisa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati setiap hari kira-kira 3,000 tan sampah dibuang dan 80% daripadanya sisa makanan buangan dari rumah.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, 40% daripada sisa makanan itu didapati masih elok dan boleh dimakan.

Berdasarkan dapatan itu, Tengku Adnan tidak menolak kemungkinan pembaziran makanan akan meningkat pada bulan Ramadan.

“Analisa itu dibuat bukan pada bulan puasa. Bulan puasa kita tak buat analisa lagi.

“Ini pembaziran yang amat ketara,” katanya selepas melancarkan Kempen Mysavefood @Ramadhan di Bazar Ramadhan Presint 3 hari ini.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Ramadan tidak sepatutnya diraikan dengan pembaziran makanan.

“Sepatutnya kita kena berjimat namun kebanyakan daripada kita terpengaruh dengan nafsu sehingga membeli makanan dengan banyak.

“Saya tidak menghalang masyarakat untuk membeli kerana ia bagus untuk penjaja tetapi perlulah membuat perancangan supaya makanan tidak dibazirkan,” katanya.

Amalan berpuasa dikatakan bertujuan untuk membersihkan jiwa, menerapkan disiplin dan kawalan diri, dan mengajak orang Islam prihatin dan memahami keadaan golongan tidak berkemampuan.