Rosmah sampaikan sumbangan RM100,000 kepada UMK dan Usim

rosmah_ukm_usim_600

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) menerima sumbangan pendidikan berjumlah RM100,000 daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (Bakti) menerusi program Dermasiswa Universiti Bakti.

Sumbangan yang masing-masing bernilai RM50,000 itu disampaikan isteri perdana menteri merangkap Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ia bertujuan membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan agar mencapai taraf pembelajaran lebih baik dan memperoleh keputusan cemerlang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pendidikan Bakti, Datin Noraini Sulaiman, 15 pelajar UMK dan 10 pelajar Usim antara pelajar yang mendapat manfaat menerusi program itu.

“Setiap pelajar UMK akan menerima RM300 manakala pelajar Usim akan menerima RM200 bagi tujuan tersebut,” katanya.

Noraini berkata data mengenai pelajar berkenaan diserahkan pihak universiti kepada Bakti untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka.

Beliau berkata hasil perbincangan dan penilaian, Bakti bersetuju menyumbang sejumlah wang kepada pelajar daripada 2 universiti itu berdasarkan keperluan mereka mendapatkan bantuan serta sokongan sewajarnya.

Tahun lepas, Bakti menyumbang RM50,000 bagi tujuan sama kepada pelajar yang memerlukan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Beberapa universiti lain juga menerima sumbangan daripada Bakti sejak 2006 antaranya Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM).