Nufam: Bawa ke Parlimen jika serius mahu haramkan hidangan alkohol

Ismail-Nasaruddin

PETALING JAYA: Parti politik yang serius mahu mengharamkan hidangan alkohol dalam penerbangan Malaysia Airlines harus membawa cadangan itu ke Parlimen, kata badan mewakili kakitangan syarikat penerbangan, Kesatuan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam).

“Wakil rakyat boleh bangkitkan dan bahas perkara ini di Parlimen jika benar mahu,” kata Presiden Nufam Ismail Nasaruddin ketika dihubungi FMT.

Beliau mengulas gesaan Pemuda PAS hari ini agar kerajaan mengharamkan hidangan alkohol dalam penerbangan Malaysia Airlines, selepas penerbangan MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur semalam terpaksa berpatah balik akibat gangguan seorang penumpang.

Sebab gangguan penumpang itu belum diumumkan pihak berkuasa Australia.

Ismail berkata Nufam tidak mahu dikaitkan dengan PAS atau parti politik lain, namun mereka sudah lama membawa isu hidangan alkohol kepada pentadbiran Malaysia Airlines dan kerajaan.

“Asas kami adalah faktor kesihatan dan keselamatan. Alkohol ketika penerbangan boleh membahayakan kesihatan penumpang, misalnya risiko serangan jantung.

“Ia juga untuk mengelakkan kelakuan yang boleh mengganggu keadaan dalam pesawat. Kedua-dua perkara ini akhirnya meningkatkan tekanan terhadap anak kapal sendiri,” katanya.

Ismail bagaimanapun berkata kejadian semalam itu tidak seperti yang digambarkan PAS.

Laporan awal mengatakan penumpang warga Sri Lanka itu mabuk, namun beliau kemudian dikatakan mengalami masalah kesihatan mental dan baru keluar daripada jagaan psikiatri.

“Tambahan pula sekarang bukan seperti dulu. Atas kesedaran sendiri, penumpang tidak lagi minum alkohol secara melampau,” katanya.

Dua tahun lalu, sebuah pesawat Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Colombo terpaksa berpatah balik selepas seorang penumpang yang mengamuk kerana permintaannya untuk dihidangkan minuman keras tidak dilayan. Ia mengundang gesaan beberapa pihak supaya syarikat itu berhenti menyajikan arak dalam penerbangan.

Bermula 1 Januari 2016, Malaysia Airlines tidak lagi menyediakan alkohol bagi penerbangan yang mengambil masa kurang daripada 3 jam.

Walaupun begitu, Ismail berkata sudah tiba masanya Malaysia Airlines menilai kembali dasar hidangan alkohol dalam pesawat.

“Malaysia Airlines meneruskan dasar itu atas sebab perniagaan, untuk menarik pelanggan dan sebagai kelebihan berbanding syarikat penerbangan yang tidak menghidangnya,” katanya.

Selain PAS, Mufti Perlis Datuk Asri Zainul Abidin pernah membuat gesaan itu selepas tragedi kehilangan pesawat MH 370 dan MH 17 ditembak jatuh.

“Hentikan arak dalam MAS moga kita dirahmati Allah,” kata Asri dalam kenyataan Facebook pada 2014.

Selain arak, Nufam juga membawa isu membenarkan pramugari beragama Islam memakai tudung dan isu membenarkan anak kapal beragama Islam tidak menghidangkan alkohol.