Pejabat kadi tidak benarkan Muhyiddin anjur majlis buka puasa di masjid

muhyiddin-buka-puasa

KUALA LUMPUR: Ahli jawatankuasa sebuah masjid di Tangkak, Johor didakwa tidak bersetuju Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan majlis berbuka puasa dan sumbangan beras untuk masjid dan madrasah dalam Parlimen Pagoh di masjid mereka.

Muhyiddin, yang juga presiden PPBM, dijadualkan mengadakan majlis buka puasa dan sumbangan beras di perkarangan Masjid An-Nur di Pekan Kundang Ulu, Sabtu ini.

Tetapi Pejabat Kadi Daerah Tangkak tidak dapat memberi kebenaran kepada Muhyiddin untuk menganjurkan majlis tersebut kerana tidak mendapat persetujuan daripada ahli jawatankuasa masjid.

Penolakan bertarikh 31 Mei itu difakskan ke Pusat Komuniti Parlimen Pagoh pagi tadi, dengan tandangan Kadi Mohd Nasri Rahman.

“Ini bukan ceramah politik. Kita cuma nak sampaikan sumbangan dan ia dibuat di perkarangan masjid,” kata Timbalan Ketua Bahagian PPBM Pagoh Datuk Tahir Mohd Taat, lapor¬†Malaysiakini.

Beliau menambah majlis itu dianjurkan atas nama Muhyiddin selaku wakil rakyat Pagoh.

Menurut faks itu, Pejabat Kadi Daerah Tangkak berkata pihaknya tidak dapat memberi kebenaran demi menghormati “kepentingan semua pihak”.

Tahir, yang bertanggungjawab membuat permohonan itu, dilaporkan berkata pihaknya berasa kecewa dan terperanjat dengan penolakan itu.

“Nampak macam ada permainan tertentu,” katanya. “Jadi kita sekarang dah tukar lokasi dan lokasi tersebut kita tumpang di rumah orang. Rumah tersebut tidak jauh daripada masjid itu.”