Zahid: 3 suspek utama kes pemerdagangan manusia akan diekstradisi

zahid-2

BUKIT KAYU HITAM: Kerajaan akan memohon perintah ekstradisi untuk membawa pulang 3 suspek utama kes pemerdagangan manusia yang berlaku di Wang Kelian, Perlis pada 2015 bagi dibicarakan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata 3 suspek itu merupakan dalang utama dalam kes berkenaan dan bukannya suspek “ikan bilis” seperti yang didakwa.

“Tiga tahanan ini kini berada di penjara Thailand dan kita dalam usaha mendapatkan perintah ekstradisi untuk membawa mereka pulang segera bagi dibicarakan di mahkamah negara.

“Kita kemukakan surat melalui Wisma Putra dan beberapa syarat kita penuhi untuk tujuan itu,” katanya ketika melakukan lawatan ke Tapak Projek Pembinaan Secara Bersepadu ICQS di sini hari ini.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata maklumat risikan yang diterima mengatakan suspek “ikan jerung” dan menolak dakwaan terdapat sekurang-kurangnya 10 suspek utama yang terlibat dalam isu berkenaan.

“Selepas berbincang dengan kerajaan Thailand dan menteri yang bertanggungjawab, kita sahkan hanya 3 orang yang terlibat,” katanya.

Pada Mei 2015, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan lebih 130 buah kubur di 28 buah kem sementara sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian.

Mengulas isu itu, Zahid berkata kerajaan komited menjaga kedaulatan negara dan tidak bertindak sambil lewa dalam menangani isu serius seperti itu.