Kastam rampas 8 kontena berisi komponen mesin judi

tsubromaniam-mesin-judiDENGKIL: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 8 kontena mengandungi komponen mesin judi bernilai RM6.56 juta yang cuba diseludup masuk di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 16 dan 17 Mei lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk T Subromaniam berkata komponen dalam 8 kontena itu yang diimport dari China boleh menghasilkan kira-kira 1,227 unit mesin judi.

“Kejayaan ini sedikit sebanyak membantu menangani kegiatan sindiket mesin judi haram di negara ini,” katanya pada sidang media di Bahagian Penguatkuasaan JKDM hari ini.

Beliau berkata modus operandi yang digunakan sindiket terlibat adalah dengan mengikrarkan kontena tersebut sebagai perabot dalam bil muatan bagi mengelak daripada mengemukakan permit pengimportan.

Menurutnya, mesin judi disenaraikan sebagai barang larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017, Butiran 64, Jadual Ketiga, Bahagian I, kecuali dengan permit daripada Kementerian Kewangan.

Susulan rampasan itu, 2 suspek lelaki warga tempatan masing-masing berumur 60-an dan 52 tahun ditahan di sebuah premis di Semenyih, Selangor semalam kerana dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan aktiviti pengimportan barangan terlarang itu, katanya.

“Kami percaya mereka adalah ahli sindiket. Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan akan dibuat hingga ke akar umbi bagi mengenal pasti siapa lagi terlibat,” katanya sambil menambah kedua-dua suspek itu direman 5 hari bermula hari ini.

Beliau berkata semua komponen tersebut untuk pasaran di Malaysia.

“Nilai rampasan dianggarkan RM6.56 juta dengan cukai sebanyak RM2.48 juta,” katanya.

Subromaniam menegaskan perbuatan mengimport barang larangan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda daripada nilai barang atau dipenjarakan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan ke-2 atau seterusnya, boleh dikenakan denda tidak kurang 20 kali ganda dan tidak lebih 40 kali ganda daripada nilai barang atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.