Malaysia Airlines nafi kurangkan anak kapal kerana kos

MAS-crewPETALING JAYA: Malaysia Airlines (MAS) menafikan pihaknya mengurangkan jumlah anak kapal dalam penerbangannya berikutan langkah mengurangkan kos yang diambil pada 2015 termasuk memberhentikan 6,000 kakitangan.

Syarikat penerbangan negara itu berkata demikian menjawab Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Tan Sri Lee Lam Thye yang mendakwa syarikat penerbangan itu mengurangkan jumlah anak kapal bagi setiap penerbangan mereka.

Beliau memperincikan jumlah anak kapal yang dilihat dalam penerbangan yang menggunakan pesawat Boeing 737.

“Rupa-rupanya, ini adalah hasil daripada langkah pengurangan kos Malaysia Airlines sebagai sebahagian daripada program rasionalisasi,” Lee dipetik sebagai berkata.

Sambil melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kebajikan penumpang berikutan kejadian seorang penumpang yang mengancam untuk “meletupkan” pesawat MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur malam Khamis lalu, Lee berkata MAS perlu memastikan anak kapal yang mencukupi untuk mengendalikan apa juga keadaan.

MAS menjawab pihak “mematuhi semua piawaian keselamatan antarabangsa sepenuhnya” bagi anak kapal, MAS berkata mereka sebenarnya antara syarikat penerbangan yang mempunyai nisbah anak kapal kepada penumpang yang tertinggi di dunia.

“Tiada perubahan jumlah anak kapal dalam penerbangan Airbus A330-300 yang membawa nisbah maksimum 29 penumpang bagi seorang anak kapal.

“Nisbah pesawat ini yang beroperasi di Malaysia berbanding syarikat penerbangan lain iaitu 42 atau 47 penumpang bagi seorang anak kapal,” kata MAS dalam kenyataan.

Sementara itu, badan kakitangan syarikat penerbangan, Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam), berkata syarikat penerbangan secara umumnya tidak patut menjadikan penjimatan kos lebih utama daripada keselamatan.

“Nufam menggesa syarikat penerbangan meletakkan keselamatan sebagai keutamaan dalam dasar perniagaan mereka. Kita tidak boleh mengurangkan tenaga kerja dan kos tetapi pada masa yang sama menjejaskan keselamatan penerbangan.

“Kami menggesa syarikat penerbangan meneliti perkara ini secara berterusan tetapi mereka nampak seperti tidak mengambil cadangan kami secara serius,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Nufam menggesa kementerian pengangkutan menguatkuasakan pengambilan lebih ramai anak kapal lelaki oleh syarikat penerbangan tempatan.

Dalam kejadian malam Khamis lalu itu, penumpang warga Sri Lanka yang baru dibebaskan daripada jagaan psikiatri sebelum penerbangan itu cuba memasuki kokpit 10 minit selepas berlepas.

Selepas anak kapal berjaya menahan beliau, juruterbang berpatah balik ke Lapangan Terbang Melbourne dan lelaki itu ditahan polis.

“Sudah tiba masanya kementerian pengangkutan memberi cadangan kepada syarikat penerbangan mengambil lebih ramai anak kapal lelaki. Adalah penting mempunyai anak kapal lelaki terutama dalam penerbangan jarak jauh.

“Anak kapal wanita tidak dapat mengendalikan situasi seperti rampasan atau ancaman keganasan kerana mereka boleh menjadi sasaran pertama individu yang mempunyai niat untuk melakukan sesuatu di dalam pesawat,” kata Nufam.

Menurut kesatuan itu, isu lebih ramai anak kapal lelaki untuk penerbangan jarak jauh pernah diketengahkan kepada pihak berkuasa sebelum ini, terutama syarikat penerbangan sekarang dilihat lebih banyak mengambil anak kapal wanita.

Menyifatkan ia sebagai diskriminasi, Nufam berkata ia penting melantik anak kapal yang berbadan tegap untuk “keselamatan penumpang”.

“Terdapat juga keperluan untuk mengkaji semula diskriminasi seperti itu kerana sebuah syarikat penerbangan tempatan diketahui beroperasi dengan hanya anak kapal wanita dalam penerbangan mereka. Mengapa perkara ini dibenarkan sekian lama?

“Kesatuan bimbang anak kapal wanita akan menjadi sasaran mudah,” kata Nufam, merujuk kepada laporan media Australia yang mendakwa penumpang bermasalah dalam penerbangan MH128 tempoh hari memegang seorang anak kapal wanita semasa membuat ancaman.

“Syarikat penerbangan tidak boleh sentiasa bergantung kepada penumpang menjadi penyelamat apabila ada masalah kerana keadaan itu juga mendedahkan nyawa penumpang kepada risiko jika sesuatu yang tidak diingini berlaku.”

Beliau menambah syarikat penerbangan bertanggungjawab untuk melindungi penumpang dan anak kapal dalam penerbangan mereka.

Beliau mencadangkan alternatif melantik marshal udara udara bagi setiap penerbangan untuk keselamatan.