Najib: Saya tidak akan jual kedaulatan Malaysia

Najib-RazakKUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata hasil sebenar dan transformatif daripada hubungan baik yang terjalin antara Malaysia dan China tidak akan menggadai sedikitpun kedaulatan negara.

“Saya sama sekali tidak akan jual kedaulatan Malaysia,” tegasnya sebelum majlis pelancaran pembukaan China Construction Bank (Malaysia) Bhd, di sini, hari ini.

Najib berkata, hubungan itu, yang bukan sama sekali seperti apa yang didakwa pembangkang, bersama dengan penerokaan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia demi kepentingan semua, bagi rakyat dan rakan kongsi dari luar negara.

China menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 8 tahun lalu dan Presidennya Xi Jinping baru-baru ini berkata hubungan 2 hala antara kedua negara berada di tahap terbaik.

Antara kerjasama utama China dan Malaysia termasuklah Zon Perdagangan Bebas Digital pertama dunia, eksport nanas Malaysia ke China dan taman komersial mewah, The Shore, di Sabah.

“Sesetengah pihak nampaknya merasakan lebih baik memiliki syarikat yang mengalami kerugian yang 100% milik Malaysia daripada memiliki peratusan lebih kecil dalam syarikat yang berpeluang untuk menembusi ke pasaran lebih besar, ekonomi yang menguntungkan dan teknologi canggih.

“Saya ingin bertanya, yang mana satu akan mewujudkan lebih banyak kekayaan dan peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia? Jawapannya adalah jelas sekali,” kata Najib.

Dalam menjawab kritikan yang mengatakan pelaburan dari China “terlalu banyak, terlalu pantas, terlalu awal”, beliau berkata, “Jika anda mahu menangguhkan pembangunan Malaysia, jika anda mahu Malaysia ketinggalan, dan jika anda tidak mahu peluang pekerjaan diwujudkan atau tahap pendapatan meningkat, silalah pergi berkempen di atas platform itu.

“Saya tidak akan sesekali memohon maaf kerana memudahkan pelaburan di Malaysia.”

Sementara itu, bersempena dengan acara hari ini, beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dan China Construction Bank (CCB) dimeterai.