Temui Arol yang membantu kanak-kanak Melayu, dan ramai lagi

Aroljesuthasan_hospital_kanak_600

GEORGE TOWN: Sesetengah orang mahu kerja amal mereka digembar-gemburkan. Ada pula yang tidak menonjolkan diri dan menghulurkan bantuan kerana meringankan beban orang lain, terutamanya yang daif, semata-mata mengabdikan diri kepada Tuhan.

Begitu halnya dengan bekas lans korporal A Aroljesuthasan, 57, yang beikrar menyumbang separuh daripada pencen bulan Disember, atau RM500, selama 20 tahun kepada 2 kanak-kanak Melayu yang kehilangan ibu bapa dalam satu kemalangan.

Bekas anggota polis itu, yang lebih suka dipanggil Arol, sebenarnya sudah bertahun membuat sumbangan seperti itu.

Arol keberatan untuk ditemubual selepas sekian lama tidak menonjolkan diri.

“Tangan kiri tidak perlu tahu apa yang diberikan tangan kanan,” katanya ditemui FMT baru-baru ini.

“Saya membantu bukan kerana mahu pengiktirafan. Saya membantu kerana Tuhan, kerana akhirat,” kata Arol, yang membaca akhbar mencari berita orang yang memerlukan bantuan, sama ada dalam bantuan wang atau bukan, walaupun sekadar berpendapatan RM1,500.

Kini bersara dan baharu berkahwin, Arol mendapat tahu mengenai nasib 2 beradik itu selepas mereka menjadi yatim piatu akibat kemalangan di Sungai Bakap, Perai, di Lebuhraya Utara-Selatan 28 April lalu.

Berita kemalangan mengerikan itu mendapat liputan meluas media.

Media melaporkan adik-beradik itu berada dalam dakapan arwah bapa mereka, Khosim Ismail, 32, dan ibu, Khairunnisa Ahmad Kamaluddin, 31, untuk melindungi mereka daripada impak kemalangan.

Lori yang mereka naiki melanggar sebuah lori di laluan kecemasan, membunuh kedua ibu bapa, dan menyebabkan Khairiyah Alisha Khosim, 10, dan Khaira Amni, 1, mengalami kecederaan.

Tersentuh dengan nasib mereka, Arol melawat kedua adik-beradik itu di Hospital Pulau Pinang.

“Apabila saya melihat mereka, saya beritahu isteri, kita perlu bantu mereka. Jadi saya tulis kontrak RM500 daripada pencen RM1,000 saya bagi bulan Disember setiap tahun disalurkan kepada mereka.

“Mengapa Disember? Sebab itu bulan sebelum sekolah bermula… supaya mereka mempunyai wang membeli baju sekolah dan keperluan sekolah lain. Saya berikar untuk bantu mereka selama 19 tahun.

“Kalau saya mati, isteri saya akan bayar bagi pihak saya. Tak kisah apa yang berlaku, mereka akan terima wang itu sehingga mereka mampu bekerja sendiri.

“Saya mahu mereka membesar jadi rakyat yang berguna dan mungkin sertai polis sebagai memperingati saya,” kata Arol.

Anak kelahiran Taiping ini berpindah ke Pulau Pinang pada 1981 untuk tugasan pertamanya di Balai Polis Jalan Patani.

Beliau berkhidmat selama 36 tahun di balai itu dan untuk sementara waktu di Balai Polis Bukit Tengah berdekatan Bukit Mertajam.

Tahun lepas, beliau berkahwin dengan kenalan lamanya, M Susheela Devi, 47, seorang penterjemah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Selepas bersara pada 2006, Arol terus membantu orang yang memerlukan, menggunakan lebihan pendapatan daripada sebidang tanah yang disewakan kepada penternak ayam.

Apabila ditanya berapa ramai yang sudah dibantu setakat ini, beliau enggan memberikan jumlah yang tepat.

“Mungkin 10 orang atau lebih”.

Kejadian yang paling diingatinya adalah apabila beliau membantu seorang lelaki Melayu, yang mempunyai seorang bayi perempuan dengan jantung berlubang.

“Saya diberitahu mengenai kes itu dari seorang kawan di Hospital Pulau Pinang. Tetapi lelaki itu sudah keluarkan anaknya dan pergi ke Sungai Petani.

“Saya berjaya dapatkan nombor lelaki itu dan saya tanya mengapa. Dia kata dirinya seorang bapa tunggal dan terpaksa bekerja untuk 2 lagi anaknya.

“Jika anaknya menjalani pembedahan, dia terpaksa menjaganya di hospital, tetapi dia tidak bersedia untuk itu.”

Tergerak mendengar keluhan lelaki itu, Arol memberikan RM700 wang simpanannya dan menawarkan untuk membawa beliau dan anak perempuannya ke Hospital Pulau Pinang untuk pembedahan itu.

“Saya takkan lupa hari itu. Dia jabat tangan saya. Air mata bercucuran membasahi tangan saya.

“Dia hubungi saya baru-baru ini. Dia mahu saya beritahu kalau saya tukar nombor telefon saya.

“Saya tanya kenapa pula, dan dia jawab dia mahu anaknya bila besar nanti ucap terima kasih kepada pakcik yang membantunya untuk terus hidup.”