Adakah Zahid gelar Malaysia sebuah negara Islam?

Tawfik-Ismail_Zahid-Hamidi_600

PETALING JAYA: Anak bekas timbalan perdana menteri ke-2, Mohamed Tawfik Ismail mempersoalkan jika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggelar Malaysia sebuah negara Islam dalam sebuah majlis berbuka puasa di Alor Setar, baru-baru ini.

Beliau yang menentang urus tadbir teokratik itu berkata, Zahid silap jika benar timbalan perdana menteri itu menolak tanggapan Malaysia ialah negara sekular.

Beliau merujuk laporan Bernama yang memetik Zahid sebagai berkata, mereka yang mendakwa Malaysia sebuah negara sekular perlu melihat dahulu Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

“Ia lebih tepat untuk memanggil negara ini sebuah negara majoriti umat Islam. Itu adalah fakta,” kata Tawfik kepada FMT.

“Perlembagaan dan doktrin pengasingan kuasa, peranan sultan sebagai ketua agama di negeri masing-masing, konsep kesaksamaan di bawah undang-undang, hak setiap orang memegang jawatan awam tanpa mengira kaum dan agama, semuanya menjamin Malaysia sebuah negara sekular.”

Tawfik yang merupakan bekas ahli Umno dan ahli Parlimen Sungai Benut selama 1 penggal berkata, kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara memberi sedikit sokongan kepada hujah Malaysia bukan negara sekular.

“Saya rasa ia bermakna raja atau sultan ialah umat Islam, oleh itu Islam dianggap agama rasmi, sama seperti ratu di England ialah ketua gereja.

“Anda boleh kata sistem kita ialah sistem hibrid kerana kita mempunyai pelbagai kaum yang mengamalkan banyak agama yang dibenarkan di bawah Perlembagaan.

“Hanya kerana majoriti rakyat Malaysia ialah orang Melayu dan Melayu ditakrifkan di bawah Perlembagaan sebagai umat Islam, menjadikan Islam agama dominan, ia tidak menguasai agama lain.”

Khamis lalu, Zahid dilaporkan berkata, kerajaan memberi jaminan semua bangsa dan agama di Malaysia tetap diberikan keadilan walaupun Islam menjadi tunjang utama dan agama persekutuan di negara ini.

“Walaupun Malaysia sebuah negara majmuk dan kita jangkakan pada 2050 bilangan umat Islam akan terus bertambah kepada 80%, kerajaan yang ada tetap adil kepada semua.

“Islam ini indah dan antara ciri-ciri dalam negara Islam adalah pemerintah yang adil kepada semua,” kata Zahid ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Rafeh, Taman Uda di Alor Setar, kelmarin.

Sementara itu, jurucakap sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dinamakan Bebas, Azrul Mohd Khalib juga bersetuju Perlembagaan tidak meletakkan Islam untuk menguasai agama lain.

“Adalah penting untuk tahu yang Perlembagaan tidak pernah berniat untuk menjadikan negara ini sebuah negara Islam,” katanya kepada FMT.

“Kesudahannya, ia perlu ditekankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan tidak sepatutnya menjadi rujukan atau alat untuk memaksa penganut agama lain tunduk kepada Islam.”

Katanya, walaupun ia penting untuk merujuk kepada Perlembagaan bagi melihat negara ini ialah sebuah negara sekular, rakyat juga perlu melihat keputusan mahkamah bagi mengesahkannya.

“Kedudukan tinggi undang-undang sekular di Malaysia disahkan pada 1988 di Mahkamah Agung dalam kes Che Omar bin Che Soh menentang pendakwa raya, di mana Mahkamah Agung menolak hujah hukuman mati untuk kesalahan mengedar dadah tidak mengikut Perlembagaan kerana melanggar prinsip Islam,” katanya.

“Menurut mahkamah, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan, tetapi ia tidak menyatakan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, mengesahkan negara ini ialah sekular.

“Kita perlu ingat Bahagian II Perkara 3 yang berbunyi ‘Islam ialah agama persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan’.

“Oleh itu, Perkara 3 tidak boleh digunakan untuk menguasai orang bukan Islam atau mendesak penguasaan agama.”