Grab: Insurans kami lindungi pemandu, bukan kerosakan kereta

grab-insurancePETALING JAYA: Syarikat perkongsian pengangkutan Grab menafikan dakwaan pihaknya tidak menyediakan perlindungan insurans seperti didakwa oleh seorang pemandu-rakan kongsi GrabCar, semalam.

Pengurus komunikasinya, Regina Robin berkata, mana-mana individu yang ingin mendapatkan platform perkhidmatan Grab, sama ada GrabCar, GrabTaxi, GrabHitch dan GrabShare – untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada orang ramai, perlu menandatangani perjanjian yang menyatakan dengan jelas terma dan syarat.

“Satu daripada terma dan syarat kami dengan jelas menyatakan yang kami tidak akan memikul tanggungjawab jika terdapat kerosakan ke atas kenderaan mereka,” kata beliau merujuk kepada fasal perjanjian berkaitan.

Fasal itu menyebut, “anda hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang dan semua tuntutan, penghakiman dan liabiliti yang disebabkan oleh apa-apa kemalangan, kerugian atau kerosakan, yang disebabkan oleh atau dikatakan sebagai hasil daripada kenderaan motor/penumpang dan/atau teksi/penumpang perkhidmatan walau apa pun cara pengendalian.”

Semalam, pemandu terbabit, Lim Kim Hwa mendakwa pihak Grab enggan membayar ganti rugi untuk keretanya, yang terlibat dalam kemalangan ketika dia sedang bertugas sebagai pemandu.

Beliau mendakwa Grab memberitahunya yang ia tidak mempunyai sebarang tanggungjawab terhadap pemandu-pemandu GrabCar jika terlibat dalam kemalangan.

Pada sidang akhbar yang diaturkan oleh Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Kim Hwa yang berusia 30 tahun berkata, dia telah meminta Grab agar membantu menampung kos kerosakan selepas syarikat insurans beliau telah menolak tuntutan beliau kerana “saya menggunakan kereta peribadi untuk kegunaan komersial.”

Sehubungan itu, Robin berkata, perkara lain yang dibangkitkan oleh Kim Hwa dengan yang Grab adalah berkaitan dengan soal integriti dengan menyebut ada pemandu-rakan kongsi yang memandu tanpa insurans.

“Sebagai pemandu GrabCar atau sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi pemandu yang akan tahu yang mereka perlu mempunyai nota perlindungan insurans mereka sebelum mendaftar.

“Ia juga dinyatakan dalam laman web kami, dan kami juga telah memaklumkan beberapa kali dalam kenyataan dan temu bual, yang kami sediakan insurans kemalangan diri untuk pemandu kami. Ia meliputi bil-bil perubatan, kehilangan anggota badan dan nyawa.

“Oleh itu, apa-apa tuntutan oleh pemandu-rakan kongsi, yang telah menandatangani dan bersetuju dengan terma dan syarat-syarat untuk menjadi seorang pemandu GrabCar, kemudiannya menyatakan Grab tidak menyediakan sebarang perlindungan insurans, adalah satu dakwaan terhadap syarikat kami, dan sesuatu yang kami memandang serius,” kata beliau.

Beliau menambah, pada tahun ini Grab bekerjasama dengan syarikat Great American Insurance bagi menyediakan perlindungan sehingga AS$10,000 setiap orang dan premium untuk polisi ini sepenuhnya ditanggung oleh Grab.

Beliau juga berhasrat untuk bertemu dengan Ahli Parlimen Segambut bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan pada sidang akhbar semalam, termasuk mengenai cara-cara bagi meningkatkan rangkaian pengangkutan awam negara.