Kit Siang desak pendakwa raya bebas siasat peguam terima dana Najib

limkitsiang-najibPETALING JAYA: Lim Kit Siang mahu pendakwa raya bebas menyiasat dakwaan Sarawak Report seorang peguam terkemuka yang dikaitkan dengan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima dana RM9.5 juta dari akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Parlimen DAP itu berkata, beliau menyokong penuh seruan Anwar supaya dakwaan itu disiasat.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, Najib dan peguam negara perlu mendedahkan jumlah kos ditanggung kerajaan yang melantik peguam terbabit untuk bertindak sebagai ketua pasukan pendakwa raya dalam kes membabitkan Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun.

Malah beliau juga menyoal mengenai keadaan khas atau luar biasa yang mewajarkan pelantikan peguam itu untuk bertindak sebagai ketua pendakwa raya dalam kes Anwar.

“Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui sama ada Najib membuat bayaran RM9.5 juta (kepada peguam itu),” kata beliau sambil menambah, “Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apani perlu melantik pendakwa raya bebas untuk menyiasat dakwaan pendakwa raya (dalam kes) Anwar mendapat wang daripada Najib, dan integriti dakwaan ke atas Anwar, perbicaraan dan hukuman penjara.”

Dalam laporan terdahulu FMT hari ini, Presiden Majlis Peguam George Varughese mahu polis menyiasat tanpa rasa takut dan pilih kasih dakwaan Sarawak Report awal minggu ini yang mendakwa RM9.5 juta telah dibayar dari akaun Najib.

“Polis perlu menyiasat kes itu dengan mendalam kerana dakwaan itu sangat serius,” kata beliau.

Bagaimanapun katanya, terlalu awal bagi Majlis Peguam untuk merujuk peguam itu kepada Lembaga Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara kerana belum ada bukti yang cukup menunjukkan beliau melakukan salah laku profesional.

Semalam, Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat laporan polis mendakwa peguam terkemuka itu, yang pernah bertindak sebagai pendakwa raya ad-hoc dalam kes liwat membabitkan Anwar, menerima wang daripada perdana menteri.

Syed Saddiq berkata, beliau membuat laporan itu demi mengelak sebarang persepsi negatif terhadap sistem kehakiman Malaysia.

Semalam, Anwar juga menggesa peguam kanan itu disiasat atas alasan dakwaan tersebut amat berat.

Majlis Peguam gesa polis siasat peguam terima dana Najib RM9.5 juta