Lelaki cabul pelanggan di pusat beli-belah ditahan

Othman-Nanyan-molest-(1)PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai mencabul kehormatan beberapa pengunjung wanita sebuah pusat membeli-belah di Cheras Selatan dekat Kajang, Selangor.

Star Online melaporkan, lelaki itu menyasarkan remaja perempuan di tempat letak kereta kompleks membeli-belah dan yang terbaharu dilaporkan terjadi kelmarin.

Difahamkan suspek akan memeluk mangsa dan meraba bahagian sulit mereka.

Dalam kejadian kelmarin, seorang gadis berusia 15 tahun mendakwa lelaki itu mengekori dia ke tempat meletak kereta kira-kira pukul 4 petang dan meraba bahagian punggung.

Walaupun berjaya melarikan diri tetapi lelaki itu mengejar dia dan cuba untuk memeluknya dari belakang.

Gadis itu kemudian memaklumkan kepada rakan-rakannya di pusat membeli-belah dan meminta bantuan pengawal keselamatan.

“Dia memberitahu pengawal keselamatan kompleks membeli-belah dan polis. Lelaki itu ditahan di tempat letak kereta di mana dia dilihat mengintai mangsa,” kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, hari ini.

Beliau berkata, seorang rakan mangsa juga mengadu dirinya pernah dicabuli suspek yang sama.

“Suspek dibawa ke ibu pejabat polis daerah Kajang. Kami sedang menyiasat jika dia pernah terlibat dalam kes-kes lain,” kata beliau.

Laporan itu menyebut lelaki terbabit ditahan reman sehingga esok.