Mendaki Gunung Santubong, sambil menahan lapar dahaga

Beberapa kerusi dan tempat untuk pendaki berehat di Gunung Santubong, yang menjadi tempat Nazar Yunus mencari rezeki sebagai malim gunung.
Beberapa kerusi dan tempat untuk pendaki berehat di Gunung Santubong, yang menjadi tempat Nazar Yunus mencari rezeki sebagai malim gunung.

KUCHING: Alah bisa tegal biasa. Kalau sudah biasa, pekerjaan sesukar mana pun dapat dilaksanakan apatah lagi apabila tiba bulan Ramadan.

Nazar Yunus, 53 yang berasal dari Kuching, Sarawak merupakan malim gunung, atau “mountain guide”, orang yang menemani pendaki gunung dari luar negara.

Di bulan Ramadan, beliau yang mula berminat dengan pendakian sejak remaja, dan tinggal hanya 25 minit dari Gunung Santubong setinggi 817 meter, terus berkhidmat membawa pendaki gunung walaupun berpuasa lebih 12 jam pada siang hari.

Ketika berpuasa, cabaran terbesar adalah melawan rasa haus kerana air sememangnya perkara utama diperlukan ketika mendaki mana-mana gunung.

“Untuk perjalanan yang mengambil masa sehari, makanan tidak berapa penting. Tetapi jika perlu bermalam, harus bawa makanan secukupnya,” katanya.

“Tidak semestinya waktu sahur itu kena makan banyak,” katanya kepada FMT.

Antara makanan ketika bersahur ialah oat, pisang dan coklat.

Menurutnya, persediaan secukupnya penting dilakukan sebelum mendaki gunung.

“Kita tengok mana tempat yang hendak kita daki. Kita kena lihat kesukaran yang bakal kita lalui, kerana kesukaran setiap laluan itu berbeza-beza.

“Ada perjalanannya yang landai tetapi jaraknya jauh. Ada pula yang dekat, tetapi cabarannya lebih hebat dari perjalanan yang landai itu,” katanya.

Nazar Yunus (tengah) bersama dua pendaki yang dibawanya menaiki Gunung Santubong di Sarawak.
Nazar Yunus (tengah) bersama dua pendaki yang dibawanya menaiki Gunung Santubong di Sarawak.

Gunung Santubong boleh didaki melalui 3 pintu masuk iaitu melalui Kampung Budaya Sarawak, Green Paradise Seafood dan Bukit Puteri.

Trek yang sentiasa didaki ialah melalui Bukit Puteri kerana trek ini agak pendek sedikit, lebih kurang 13 km pendakian naik dan turun.

Karenah pelbagai

Nazar menjelaskan, antara cabaran terbesar membawa pendaki ketika bulan puasa adalah untuk melayan karenah pendaki yang pelbagai.

“Sikap mereka ketika bulan puasa lebih menjadi-jadi. Kadang-kadang dalam satu kumpulan tidak semua mempunyai mentaliti sama, ada yang cepat marah.

“Jika 10 orang, yang terbaiknya mereka harus punyai satu matlamat dan fokus sama. Kalau ada seorang kaki ‘selfie’, pasti akan tertinggal jauh di belakang.

“Bahkan, kita juga akan berikan motivasi kepada pendaki jika ada yang mengalah. Kita pastikan sama ada mereka mampu naik ke gunug atau tidak lagi mampu naik,” katanya.

Ketika bulan Ramadan, terdapat pendaki-pendaki yang memilih untuk mendaki Gunung Santubong pada waktu malam, memaksa Nazar bermalam di puncak.

“Kita naik pada waktu petang dan berbuka puasa ketika berada di atas puncak atau mana-mana tempat yang mereka larat. Kemudian kita berkhemah dan pagi selepas sahur, kita turun,” katanya.

Bagaimanapun, Nazar menjelaskan kebiasaannya tidak semua pendaki berminat untuk mendaki gunung pada waktu malam kerana walaupun Ramadan, mereka masih bimbangkan kehadiran makhluk halus.

“Cabarannya dari sudut psikologi kita dan pendaki gunung itu. Ia kerana dalam fikirannya mereka bayangkan pelbagai perkara apabila mendaki waktu malam. Terutamanya perkara-perkara halus.

“Banyak yang bukan Muslim naik ketika bulan Ramadan, sebab di Gunung Santubong, banyak juga pelancong asing yang naik. Kalau Muslim yang naik malam, biasanya mereka memang pendaki tegar. Pendaki baru memang tidak akan naik,” katanya.

Malim gunung mula menjadi perhatian apabila berlaku tragedi gempa bumi yang melanda daerah Ranau, Sabah dan sekitarnya pada 2015.

Tragedi hitam itu mengorbankan 18 nyawa termasuk 4 malim gunung.