Ini untuk Allah, jerit penyerang di London

london-attack-1

LONDON: Saksi menceritakan detik cemas berdepan serangan di tengah London pada malam tadi yang menyaksikan 9 maut, termasuk 3 penyerang ditembak mati polis.

Seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Gerard memberitahu BBC: “Mereka (penyerang) menikam orang ramai. Mereka berlari dan menjerit ‘This is for Allah (Ini untuk Allah)’.”

Seorang lagi saksi yang dikenali sebagai Eric dipetik BBC sebagai berkata, beliau ternampak 3 lelaki keluar dari sebuah van putih selepas merempuh pejalan kaki dan menyangkakan mereka akan membantu mangsa.

Sebaliknya, beliau berkata, mereka “mula tendang, tumbuk mangsa dan mengeluarkan pisau”, selain terdengar mereka menjerit “Ini untuk Allah”.

Wartawan BBC, Holly Jones yang berada di London Bridge ketika kejadian berkata, beliau ternampak sebuah van yang dipandu pada kelajuan “kira-kira 50 batu (80km) sejam” oleh seorang lelaki.

Seorang saksi yang dikenali sebagai Dee, 26, memberitahu AFP: “Ada sebuah van melanggar pagar London Bridge. Kemudian seorang lelaki berlari sambil memegang sebilah pisau. Dia turun tangga dan memasuki sebuah bar.”

Alex Shellum yang berada di Pub Mudlark dekat lokasi serangan itu berkata, seorang wanita datang ke bar itu dengan “lehernya berlumuran darah”.

“Ia kelihatan lehernya dikelar,” katanya kepada BBC.

Penyerang bersenjatakan pisau besar

Pasangan suami isteri, Ben dan Natalie memberitahu radio BBC mengenai kejadian di luar Borough Market.

Ben berkata: “Kami nampak orang ramai berlari dan kemudian saya nampak seorang lelaki berbaju merah dengan sebilah pisau besar, saya anggarkan 10 inci (25sm) panjang, menikam seorang lelaki kira-kira 3 kali.

“Nampaknya lelaki itu cuba campur tangan, tetapi tidak banyak yang beliau boleh buat. Beliau ditikam dengan kejam dan rebah ke tanah,” katanya sambil menambah penyerang terbabit kemudiannya berjalan ke arah sebuah pub dan sebuah kerusi besi dilontarkan ke arahnya.

“Kemudian kami terdengar 3 das tembakan, pastinya bunyi tembakan dan kami berlari.”

Seorang jurugambar dari Itali, Gabriele Sciotto yang sedang menonton perlawanan bola sepak Liga Juara-juara di pub Wheatsheaf di Borough Market berkata, beliau ternampak 3 lelaki ditembak mati di luar pub itu.

“Dalam 2 atau 5 saat, mereka tembak mati 3 lelaki itu,” katanya.

3 penyerang pakai jaket bunuh diri palsu

AFP melaporkan polis menerima laporan pertama sebuah “kenderaan merempuh pejalan kaki di London Bridge” pada jam 10.08 malam (waktu tempatan), disusuli “beberapa laporan tikaman di Borough Market,” di selatan penghujung jambatan itu.

“Suspek itu ditembak polis dalam masa 8 minit selepas panggilan pertama diterima. Suspek memakai jaket bahan letupan, tetapi ia kemudiannya disahkan palsu.

“Malangnya, 6 orang maut, tambahan kepada 3 penyerang yang ditembak mati polis,” kata Ketua Anti Keganasan Britain, Mark Rowley.

Perkhidmatan Ambulans London dipetik AFP memaklumkan, setakat ini, 48 mangsa dikejarkan ke 5 hospital di sekitar bandar raya itu, dengan sejumlah lagi mangsa cedera ringan dirawat di tempat kejadian.

Antara yang cedera termasuk seorang anggota Polis Pengangkutan British yang ditikam di bahagian muka dan kaki.

Serangan itu berlaku 5 hari menjelang pilihan raya umum pada 8 Jun ini dan 12 hari selepas seorang pengebom berani mati membunuh 22 penonton di konsert penyanyi Amerika Syarikat, Ariana Grande di Manchester, barat laut London.

Ia juga berlaku di kawasan yang penuh dengan bar dan restoran dikunjungi peminat bola sepak untuk menyaksikan perlawanan Liga Juara-juara antara Real Madrid dan Juventus, malam tadi.

Ariana menerusi Twitternya menulis: “Berdoa untuk London”.

Perdana Menteri Britain, Theresa May mengesahkan “insiden dahsyat di London” itu dianggap “tindakan berpotensi keganasan” dan akan mengadakan mesyuarat kecemasan hari ini.

Facebook turut mengaktifkan fungsi pemeriksaan keselamatan untuk pengguna di London bagi memaklumkan keselamatan mereka kepada ahli keluarga dan kenalan.

Penduduk tempatan pula menawarkan tempat tinggal kepada mereka yang terkandas akibat serangan itu menggunakan hashtag #sofaforlondon.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/04/serangan-di-london-6-mangsa-maut-3-penyerang-ditembak-mati-polis/