Mahdzir Khalid gesa sekolah tahfiz daftar

Mahdzir-Khalid_sekolah_tahfiz_600

KUALA NERANG: Pengusaha sekolah tahfiz di negara ini digesa supaya mendaftar dengan Kementerian Pendidikan atau Jabatan Agama Islam negeri bagi membolehkan tahap keselamatan di dalam mahupun di luar sekolah ditingkatkan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, oleh kerana sekolah tahfiz kebanyakan tidak berdaftar menyebabkan sukar bagi pihak kementerian memantau dan menambah ciri keselamatan premis dan pelajar yang kini dilihat semakin tercalar dengan kejadian yang tidak diingini.

“Ada sekolah agama ini di bawah Kementerian Pendidikan yang dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) atau Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan ada juga sekolah-sekolah agama yang didaftarkan di bawah kerajaan negeri dikenali Sekolah Agama Rakyat (SAR).

“Tetapi ada juga sekolah-sekolah tahfiz yang ditubuhkan tidak didaftarkan di mana-mana, inilah masalah yang kita hadapi untuk kita buat sesuatu,” katanya kepada pemberita selepas program penyampaian Sumbangan Masyarakat Siam daerah Padang Terap, di Kampung Changdeng, di sini, hari ini.

Mahdzir juga berkata pemilik atau pengusaha sekolah tahfiz swasta atau persendirian sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan menitikberatkan aspek keselamatan pelajar agar tidak berlaku kejadian tidak diingini sama ada di dalam mahupun di luar sekolah.

Beliau juga menolak dakwaan kononnya kerajaan selama ini tidak membantu sekolah-sekolah tahfiz atau SAR, sebaliknya kerajaan sentiasa mahu melihat sekolah pendidikan Islam itu terus berkembang dalam menegakkan syiar Islam di negara ini.

“Bukan kita tak bagi bantuan, tetapi mereka daftar pun tidak, kita tak tahu berapa orang pelajar, kurikulum yang diguna pakai kita tak tahu… sepatutnya berdaftarlah senang kerajaan memantau atau membantu,” katanya.