Lelaki serang Resort World Manila banyak hutang, bukan pengganas

manila-gunman

PETALING JAYA: Polis Filipina mengenal pasti lelaki bersenjata yang menyerang sebuah kompleks kasino dan hotel di Manila awal pagi kelmarin sebagai seorang bekas kakitangan Jabatan Kewangan yang berusia 42 tahun, bukannya anggota kumpulan pengganas.

Ketua Penguasa Polis, Oscar Albayalde mendedahkan lelaki itu sebagai Jessie Carlos, seorang rakyat Filipina, yang “banyak terhutang kerana ketagih judi kasino.”

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata, serangan itu bermotif rompakan.

Beliau berkata, Carlos dikenal pasti secara positif oleh anggota keluarganya pada pukul 5.30pagi tadi.

Carlos berhutang sekurang-kurangnya 4 juta peso (RM345,619). Masalah perjudian “menjadi punca salah faham dengan isteri dan ibu bapanya,” kata Albayalde.

Lapoan Star Online yang memetik The Straits Times berkata, lelaki bersenjata itu telah diharam dari memasuki semua kasino sejak April lalu dan terpaksa menjual trak pikap, Ford Ranger kerana hutangnya.

Lelaki itu mempunyai seorang anak lelaki dan 2 anak perempuan.

Carlos yang pakar cukai telah dipecat sebagai kakitangan Jabatan Kewangan berhubung isu aset dan liabiliti.

“Dengan ini, kami mengulangi kenyataan kami sebelum ini, ini bukan satu tindakan keganasan… kejadian ini terbatas kepada perbuatan seorang lelaki sahaja, seperti yang kami selalu berkata (sebelum ini).

“Kami telah dan akan terus berpegang kepada asas pengumuman kami yang berdasarkan kepada fakta dan bukti yang dikumpulkan dengan tepat,” kata Albayalde.

Beliau menambah: “Kami tidak akan membenarkan orang atau mana-mana kumpulan menggunakan keadaan ini untuk menggalakkan propaganda atau kepentingan peribadi mereka, sama ada pihak asing atau tempatan.”

Lewat semalam, Presiden Rodrigo Duterte berkata, beliau tidak percaya lelaki bersenjata itu adalah pengganas.

“Itu bukan kerja-kerja ISIS. Kerja-kerja ISIS adalah lebih kejam, kejam,” kata Duterte, merujuk kepada Negara Islam di Iraq dan Syria, yang kelmarin mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Untuk menyangkal tanggapan ia serangan pengganas, pegawai-pegawai Resort World Manila mengeluarkan rakaman CCTV semalam untuk menunjukkan lelaki itu hanylah Carlos dan apa yang dia lakukan pada hari kejadin.