KKM kesal kesilapan serah jenazah mualaf Cina

hospital-kajangPUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merujuk kejadian kesilapan penyerahan mayat kepada salah sebuah rumah kebajikan untuk urusan pengebumian sepertimana dalam laporan akhbar Harian Metro Online pada 4 Jun 2017.

Jenazah lelaki Cina yang berusia 74 tahun itu merupakan satu-satunya penganut Islam dalam keluarga mendiang. Beliau sebelum ini menetap di sebuah rumah kebajikan di Kajang.

Makluman dan siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Hospital Kajang mengesahkan berlaku kesilapan penyerahan mayat dan siasatan mendalam kini sedang dijalankan oleh pihak Hospital dan JKNS.

Pihak KKM berasa sangat kesal dan memandang serius insiden ini. KKM berpendirian ia tidak sewajarnya berlaku di mana-mana hospital kerana sememangnya pihak hospital dan unit forensik mempunyai garis panduan serta Standard Operating Procedure (SOP) of Forensic Medicine di mana ia menggariskan tatacara penyerahan mayat kepada waris.

Tindakan tegas akan diambil terhadap kakitangan terlibat yang tidak mematuhi garis panduan serta SOP ini.

Pengurusan abu mayat diserahkan kepada pihak Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan rumah kebajikan yang terbabit.

Pihak KKM juga mengeluarkan arahan penambahbaikan serta merta kepada pihak hospital tersebut bagi mengelakkan hal yang sama daripada berulang.