Parlimen Iran, makam Khomeini diserang

Ayatullah-Khomeini-terroristTEHRAN: Beberapa lelaki bersenjata melancarkan 2 serangan di Iran hari ini, meragut 7 nyawa termasuk seorang pengawal di bangunan Parlimen dan mencederakan beberapa orang di Makam Ayatullah Khomeini di sini.

Ahli Parlimen Elias Hazrati memberitahu 3 penyerang, seorang dengan pistol dan 2 lagi dengan senapang AK-47, menyerbu Parlimen.

Agensi berita ISNA pula memetik seorang lagi ahli Parlimen sebagai berkata salah seorang penyerang dikepung pasukan keselamatan sementara semua pintu bangunan Parlimen itu ditutup.

“Saya berada di dalam Parlimen apabila insiden tembakan itu berlaku. Semua orang terkejut dan ketakutan. Saya nampak 2 lelaki menembak secara rambang,” kata seorang wartawan di lokasi kejadian yang tidak mahu namanya disiarkan.

Setengah jam selepas serangan di Parlimen, seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di Makam Ayatollah Khomeini, pengasas Revolusi Islam 1979, mencederakan beberapa orang, menurut agensi berita separa rasmi, Fars.

Agensi berita rasmi IRNA pula memetik seorang pegawai di makam berkenaan sebagai berkata penyerang meletupkan dirinya selepas menembak orang ramai.