Cukai pelancongan untuk isi tabung kerajaan, kata PKR

Wong-Chen-putrajaya-kerajaan-malaysia-2PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, cukai pelancongan untuk menjejaskan industri pelancongan kerana pelaksanaan cukai baharu itu sekadar untuk menambah pendapatan kerajaan.

Pemimpin PKR itu berkata, cukai pelancongan ialah satu lagi langkah kerajaan mendapatkan dana amat diperlukan disebabkan masalah kewangan akibat ketidakupayaan membasmi ketirisan dan rasuah.

“Saya jangka industri perhotelan akan mengalami kelembapan perniagaan selama 6 bulan hingga setahun, sebelum ia kembali pulih.

“Pelancong lebih cenderung menggunakan Airbnb yang tidak tertakluk kepada cukai itu kerana ia tidak dikawal selia kerajaan,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata, dalam jangka panjang, kesannya tidak besar jika kadar cukai itu dikekalkan, tetapi kesan negatif akan wujud jika kadarnya dinaikkan setiap tahun.

Mengenai keputusan kerajaan Sarawak menarik balik daripada Lembaga Pelancongan Malaysia, Wong Chen berkata, masalah itu berpunca daripada kegagalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz berbincang dengan semua pihak berkepentingan sebelum Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang itu.

“Ia juga petanda kerajaan Sarawak bersedia melaksanakan autonomi lebih besar dan membuat keputusan,” katanya.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak hari ini mengumumkan negeri itu menarik diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia berkuat kuasa serta-merta, sehari selepas menteri pelancongan membidas seorang menteri negeri kerana mempersoalkan cukai pelancongan yang bakal berkuat kuasa 1 Julai ini.

“Kerajaan negeri menganggap penyertaan wakil dalam Tourism Malaysia tidak perlu kerana ia bertindih dengan peranan dan fungsi Lembaga Penggalakan Pelancongan Sarawak,” menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri.

Tahun lalu, wakil rakyat pembangkang mengkritik cadangan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan memperkenalkan bayaran perkhidmatan pelancongan (TSF) yang menyarankan kerajaan menumpukan perhatian untuk mengurangkan pembaziran dan rasuah terlebih dahulu.

Wong Chen turut mendakwa Putrajaya menunjukkan ketidakupayaan mengurangkan pembaziran peruntukan dan rasuah walaupun ia sering ditekankan secara konsisten dalam laporan ketua audit negara.

Pelaksanaan cukai pelancongan itu akan menyebabkan pelancong terpaksa membayar lebih untuk penginapan setiap malam di hotel seluruh negara, iaitu RM20 bagi hotel 5 bintang, RM10 (hotel 4 bintang), RM5 (hotel 1 hingga 3 bintang) dan RM2.50 (hotel bajet atau tiada bintang).

Cukai pelancongan itu tidak termasuk dalam Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta caj perkhidmatan.

April lalu, Nazri ketika berbahas di Dewan Rakyat untuk meluluskan Rang Undang-undang Cukai Pelancongan 2017 berkata, cukai itu boleh memberi kutipan RM654.62 juta jika kadar penginapan bagi keseluruhan 11 juta bilik di negara ini mencapai 60%.

Ivy Chong menyumbang kepada laporan ini.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/11/menteri-sarawak-perlu-jaga-mulut-kata-nazri/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/12/sebagai-menteri-kanan-bersopanlah-nasihat-karim-kepada-nazri/