Melaka alu-alukan cukai baharu ke atas hotel

idris-haronMELAKA: Pelaksanaan cukai pelancongan yang dijadual pada 1 Julai depan dijangka tidak akan memberi kesan terhadap kedatangan pelancong tempatan atau antarabangsa ke Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata langkah diambil Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu merupakan inisiatif bagi menambah sumber pendapatan baharu sekali gus menambah baik kualiti produk dan perkhidmatan pelancongan negara.

Katanya, pelaksanaan cukai berkenaan juga secara tidak langsung dapat membantu dalam usaha menjana pendapatan industri pelancongan negara.

“Tidak perlu khuatir dengan pengenalan cukai ini kerana saya kira jumlah kedatangan pelancong ke Melaka tidak akan terjejas sebaliknya mereka (pelancong) mendapat jaminan bahawa prasarana pelancongan negara akan dipertingkatkan,” katanya kepada pemberita ,di sini hari ini.

Mengulas mengenai rungutan sesetengah pihak mengenai perlaksanaan cukai itu, Idris berkata Melaka turut menerima reaksi yang hampir sama apabila memperkenalkan cukai warisan.

“Bagaimanapun, lama-kelamaan mereka semakin positif kerana boleh mempertikaikan sekiranya produk warisan berkenaan tidak dijaga dan dipelihara dengan baik atas cukai yang dikenakan,” katanya.