Menteri Sarawak risau tandas, tempat wuduk masjid mengaibkan

Len-Talif-Salleh-berwudhu-masjidSARIKEI: Adun Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh menyuarakan kebimbangan mengenai tahap kebersihan tandas dan tempat mengambil wuduk di masjid serta surau di Bahagian Sarikei yang didapati berada pada tahap mengaibkan.

Justeru, beliau meminta jawatankuasa pengurusan masjid dan surau di bahagian itu memberi penekanan terhadap aspek kebersihan kemudahan itu, bersesuaian peranan masjid serta surau sebagai tempat ibadah bagi umat Islam.

Menurutnya, keadaan seumpama itu berlaku kerana jawatankuasa pengurusan kurang memberi perhatian terhadap aspek kebersihan.

“Ia tidak selaras dengan Islam yang sentiasa mengutamakan kebersihan dalam semua aspek. Pihak jawatankuasa perlu mengambil tindakan segera dan memastikan tandas dan tempat mengambil wuduk sentiasa bersih mulai tahun ini,” katanya.

Len Talif yang juga menteri muda perancangan bandar, pentadbiran tanah dan alam sekitar berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan kewangan Majlis Islam Sarawak (MIS) berjumlah RM26,000 kepada 26 masjid dan surau di pejabat Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) Bahagian Sarikei, hari ini.

Beliau turut mengingatkan anggota jawatankuasa masjid dan surau menerima teguran membina daripada masyarakat berhubung tadbir urus institusi keagamaan berkenaan.

“Kita tidak perlu merasa tergugat atau jangan marah apabila ada pihak tertentu dalam kalangan masyarakat mengutarakan sesuatu idea atau teguran bertujuan menambah baik pengurusan surau dan masjid. Pengurusan perlu dimantapkan lagi supaya sentiasa mengikut peredaran semasa.”

Katanya, setiap anggota jawatankuasa perlu ikhlas dalam menjalankan tugas tadbir urus masjid dan surau serta berusaha membawa golongan cerdik pandai bersama mereka.