Rapid: Tren monorel perlu 13 pengubahsuaian kritikal

Zohari-Sulaiman_monorail_rapid-kl_600KUALA LUMPUR: Rapid Rail Sdn Bhd dan Scomi Engineering Berhad mengenal pasti 13 pengubahsuaian kritikal berkaitan keselamatan yang perlu dilakukan terhadap tren monorel 4 gerabak sebelum mengembalikannya untuk diservis.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Zohari Sulaiman berkata, setakat 25 Mei lepas, Scomi mengenal pasti 26 pengubahsuaian yang perlu dibuat terhadap tren berkenaan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 13 pengubahsuaian adalah kritikal demi keselamatan dan perlu dilakukan sebelum tren berkenaan dikembalikan untuk diservis.

“Walaupun Scomi mengisytiharkan tren monorel 4 gerabak itu layak beroperasi, tetapi sebagai pengendali rel bandar yang bertanggungjawab, profesional dan berpengalaman, Rapid Rail tidak akan mendedahkan keselamatan orang ramai kepada sebarang risiko,” katanya.

Zohari berkata, Rapid Rail hanya akan menggunakan tren berkenaan setelah mendapat pengesahan Scomi.

Katanya, setelah jurutera Scomi mengesan kekurangan pada tren itu dan mencadangkan beberapa pengubahsuaian yang perlu dilakukan, ia tidak segera dilakukan dan ini meningkatkan risiko terhadap keselamatan penumpang.

“Perkara yang menjadi keutamaan segera Rapid Rail ialah memastikan Scomi yang memperakui pelbagai pengubahsuaian perlu dilakukan terhadap tren monorel 4 gerabak itu, melakukannya dengan segera dan teliti.

“Tiada pihak dan perkara lebih penting daripada keselamatan pelanggan kami dan orang ramai,” katanya.

Rapid mengeluarkan kenyataan itu sebagai respons terhadap laporan media yang memetik kenyataan Scomi tentang keadaan tren monorel dan kelayakannya untuk beroperasi.