S4S: Putrajaya tiada hak kenakan cukai pelancongan di Sarawak

jaban-1PETALING JAYA: Jurucakap Sarawak4Sarawakians Peter John Jaban membidas Datuk Seri Nazri Aziz kerana menggelar Menteri Pelancongan, Kesenian, Budaya, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah seorang “samseng”.

Menyifatkan Nazri sebagai “angkuh” dan “tidak senonoh”, beliau berkata tindakan meluluskan rang undang-undang cukai pelancongan di Dewan Rakyat tanpa berunding dengan Sarawak melanggar semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Selaku seorang menteri kanan, Nazri sepatutnya tidak berkelakuan seperti itu, yang merisikokan hubungan antara Sarawak dan Tanah Melayu. Sebaliknya, beliau perlu tunjukkan contoh yang lebih baik kepada menteri bawahan.”

“Karim sekadar menyuarakan hak Sarawak,” kata Peter dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Nazri, yang juga menteri pelancongan dan kebudayaan, memberi Karim supaya menjaga mulutnya semasa mengeluarkan kenyataan terhadap kerajaan persekutuan.

Kenyataan itu menyusuli laporan Borneo Post yang melaporkan Karim sebagai berkata cukai pelancongan contoh kerajaan persekutuan mengenakan cukai ke atas Sarawak tanpa rundingan.

“Anda (Karim) tidak perlu bercakap besar dalam politik. Jika anda mahu menunjukkan samseng, kita adalah samseng lagi besar,” kata Nazri kepada pemberita.

Peter berkata rakyat Sarawak merasakan diri semakin menjadi mangsa.

“Kedaulatan Sarawak selaku rakan setaraf dalam persekutuan diancam tindakan tidak peduli kerajaan persekutuan dalam bidang kuasa dan pentadbiran sebuah negeri berdaulat,” katanya.

Jurucakap zon tengah S4S Bill Jugah turut mengkritik cara perkara ini dikendalikan, menganggapnya “sama sekali tidak sesuai”.

Beliau berkata Nazri dan Karim sepatutnya menyelesaikan sebarang isu berbangkit sebelum mengumumkan perubahan cukai.

“Nazri sepatutnya baca Perjanjian Malaysia sebelum mengeluarkan kenyataan mengenai isu penting yang memberi kesan kepada Sarawak,” katanya.

Merujuk kenyataan Adun Bingkor Datuk Jeffrey Kitingan, Bill berkata rakyat Sarawak perlu sedar apa yang mereka mahu lakukan mengenai masa depan mereka, bukannya melepaskan perkara itu ke tangan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata kerajaan tidak berhak mengenakan cukai pelancongan, yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 6 April dengan majoriti mudah, dengan sokongan daripada ahli Parlimen BN dari Sarawak dan Sabah. Menurut Nazri, cukai itu berkuatkuasa 1 Julai.

“Kerajaan pusat tiada hak mengenakan cukai seperti itu jika ia berkenaan Sarawak, kerana ia serupa dua kali cukai oleh hotel dan rumah penginapan.”

Beliau berkata Nazri tidak sedar ada 3 peringkat kerajaan di Malaysia: persekutuan, negeri dan tempatan.

“Kuasa kerajaan tempatan terletak pada kerajaan negeri dan bukan kerajaan persekutuan,” katanya.

Oleh itu, kerajaan persekutuan tidak boleh meluluskan undang-undang dan mengambil alih kuasa kerajaan negeri untuk melaksanakan cukai pelancongan di Sarawak.

Beliau menambah cukai itu sebahagian dari hasil kerajaan tempatan milik pihak berkuasa tempatan.

“Kerajaan negeri juga tidak berhak menyentuh hasil itu kerana ia milik eksklusif setiap pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Bill berkata hotel dan rumah penginapan terletak di bawah Seksyen 49(46)(i) Ordinan Kerajaan Tempatan Sarawak & Sabah 1961 jadi bagaimana kerajaan persekutuan boleh meluluskan rang undang-undang cukai pelancongan di Parlimen tanpa persetujuan kerajaan negeri.

“Parlimen tidak boleh sesuka hati meluluskan undang-undang.

“Apabila Parlimen membentangkan usul, ia adalah undang-undang persekutuan dan ahli Parlimen Sarawak tidak mewakili dewan undangan negeri Sarawak yang menggubal dan meluluskan undang-undang untuk Sarawak.

“Oleh itu, Sarawak tidak terikat kepada sokongan ahli Parlimen Sarawak di Parlimen kecuali DUN memberikan sokongan.”