SPRM tahan jurutera JKR beri projek kepada abang

macc-sprm-arrestJOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang jurutera di Jabatan Kerja Raya Daerah Kulai selepas disyaki menyalahgunakan kuasa serta kedudukan untuk kepentingan diri sendiri.

Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira 1 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan berhubung siasatan yang dijalankan SPRM terhadap dirinya di ibu pejabat SPRM di sini.

Menurut sumber SPRM, suspek dipercayai menganugerahkan beberapa projek memotong rumput dan pembersihan di beberapa lokasi di daerah berkenaan kepada abangnya.

Siasatan awal mendapati keseluruhan projek yang dianugerahkan kepada abangnya itu bernilai hampir RM20,000.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Johor Bahru untuk pertuduhan, esok.