Warisan mahu jawatankuasa Parlimen bincang kepentingan Sabah

Darell-Leiking_sabah_6003PETALING JAYA: Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking berkata satu jawatankuasa Parlimen perlu ditubuhkan untuk membincangkan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) demi melindungi kepentingan Sabah.

Leiking berkata jawatankuasa itu akan membantu pelaksanaan perjanjian itu secara berkesan selaras dengan wawasan pengasas negara, melihat kepada pelanggaran MA63 beberapa tahun kebelakangan ini.

“Penubuhan jawatankuasa itu membuka jalan kepada rakyat Sabah dan Sarawak dalam usaha melaksanakan MA63 dan memberi peluang kepada sejarawan, ahli akademi, peguam, aktivis dan ahli politik memberikan input tanpa sekatan politik.

“Saya fikir isu Sabah tidak diberi hak milik 40%, Borneonisasi dan cukai sudah lama tertangguh dan perlukan perhatian segera Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata isu lain yang perlu ditangani adalah usul Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan cukai pelancongan, yang Leiking anggap “memungkiri” MA63.

“Ia kini menjadi sangat jelas kerajaan persekutuan cuba memaksa untuk memerah setiap sen dari Sabah, dan ini perlu dihentikan,” katanya.

Leiking menjawab Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, yang baru-baru ini membidas pihak berkuasa kerana merendahkan status dokumen mengenai hak Sabah kepada dokumen sejarah semata-mata.

Leiking, yang juga timbalan presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), berkata cadangan penubuhan jawatankuasa ini perlu diajukan sebelum ini dalam perbahasan Parlimen pada 2013. Beliau menambah cubaannya untuk membentangkan usul membincangkan pelanggaran MA63 ditolak Parlimen.

Beliau menyeru wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak supaya menyokong cubaan membentangkan usul itu.

Leiking berkata tidak kisah siapa yang membentangkan usul itu kerana yang penting adalah kepentingan rakyat Sabah hari ini dan di masa depan.

“Saya tiada masalah kalau ahli Parlimen BN dari Sabah mengusulkan usul itu kerana pimpinan BN di Sabah juga terlibat dalam perbincangan MA63, walaupun secara tidak rasmi,” katanya.

“Saya akan bincang perkara ini dengan Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Shafie Apdal dan wakil rakyat lain mengenai perkara ini dan berharap kita akan bernasib baik nanti.”