Zahid sahkan kematian militan Nizam Ariffin di Iraq

zahid-Abu-Afghan

BAGAN DATUK: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan rakyat Malaysia, Mohd Nizam Ariffin atau dikenali sebagai Abu Afghan, yang menyertai kumpulam pengganas IS di Syria, terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Iraq di Mosul, Jumaat lepas.

Zahid berkata pihak perisikan sudah memaklumkan kepada pihak polis berhubung nasib Abu Afghan, 38, ketika pertempuran dengan tentera kerajaan Iraq.

Kematian Nizam menjadikan jumlah militan Malaysia terbunuh di Iraq dan Syria seramai 31 orang, manakala 56 lagi dipercayai masih bebas.

Zahid berkata kerajaan juga tidak akan mengiktiraf mereka yang terkorban kerana penyertaan dalam kumpulan pengganas sebagai mati syahid.

“Jika ada fatwa dari mana-mana pihak mengatakan kematian pengganas itu sebagai syahid kerajaan tidak akan iktiraf ia sebagai kematian syuhadah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Agropreneur Muda Perak 2017 hari ini.

Katanya, kerajaan tidak akan melakukan usaha untuk membawa balik mayat rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan IS sekiranya mereka meninggal dunia dalam pertempuran di luar negara.

Menurutnya, pihak keluarga yang ingin membawa balik mayat berkenaan perlu mengambil usaha sendiri.