Hamzah: Ahli True Fitness boleh fail tuntutan kepada tribunal

Hamzah-Zainudin_True-Fitness-Malaysia_600

PUTRAJAYA: Anggota pusat kecergasan True Fitness Malaysia yang ditutup boleh membuat aduan dan tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Tribunal tersebut boleh melaksana tuntutan sehingga RM25,000 setiap seorang,“ katanya pada sidang media pengumuman Skim Kawalan Harga Musim Perayaan, Hari Raya Puasa 2017, hari ini.

Hamzah ditanya sama ada pihak kementerian menerima aduan berhubung penutupan kelab kecergasan berkenaan.

True Fitness yang berpangkalan di Singapura mengumumkan penutupan semua gimnasium dan kemudahan spa di Malaysia melalui laman webnya Sabtu lalu, selepas menghentikan operasi mereka di Thailand pada Jumaat lepas.

Syarikat yang beroperasi selama 12 tahun di Malaysia itu dilaporkan menutup operasinya ekoran prestasi perniagaan tidak menguntungkan.