‘Jangan heret MCA dalam isu bazar Ramadan Kluang’

Gan-Peng-Sieu-mca-4

PETALING JAYA: Gan Ping Sieu hari ini mempertahankan DAP dengan berkata, tiada pihak berhak menghalang sesiapa memasuki bazar Ramadan yang diadakan di tempat awam, tetapi mengingatkan parti pembangkang itu tidak mengheret MCA dalam kekecohan dengan peniaga.

Gan dalam kenyataan hari ini berkata, beliau tidak mahu terbabit dalam permainan politik ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kekecohan itu yang disifatkannya insiden terpencil menjejaskan keamanan dan ketenteraman awam.

Pengerusi MCA bahagian Kluang itu berkata demikian susulan penafian Liew yang DAP meminta bazar Ramadan di Kluang dipindahkan pada 2007, sebaliknya mendakwa MCA ialah dalang di sebalik tindakan itu.

Liew berkata, tidak mungkin DAP boleh berbuat demikian memandangkan parti itu tidak mempunyai kerusi di daerah itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Katanya, hasil semakan mendapati Gan selaku adun Mengkibol ketika itu yang mengetuai bantahan terhadap bazar itu dan membuat pembentangan kepada pegawai daerah.

Menjawab dakwaan itu, Gan berkata, ia adalah tugasnya sebagai wakil rakyat untuk menyuarakan kebimbangan peniaga berhubung kesesuaian lokasi bazar Ramadan itu dan mencari alternatif lain, pada 2007.

“Akibatnya, beberapa perubahan dibuat dan peraturan ditetapkan kerajaan negeri serta majlis perbandaran.

“Beliau sepatutnya lebih tahu apa peranan DAP ketika itu.”

Bekas naib presiden MCA itu berkata, beliau tidak terkejut Liew tidak dialu-alukan sesetengah peniaga dan sudah beberapa kali pengerusi DAP Johor itu mendapat layanan sedemikian daripada masyarakat setempat.

“Liew mempunyai rekod pertikaian politik partisan dan seolah-olah gemar mempolitikkan sesuatu isu di luar konteks demi kepentingan politik dengan mengorbankan masyarakat.

“Saya melawat bazar Ramadan hampir setiap tahun tanpa dimalukan peniaga. Beliau patut belajar cara untuk memahami, tidak mempolitikkan serta mengapi-apikan setiap dan semua isu,” kata bekas adun Mengkibol itu.

Sabtu lalu, pasukan petugas Pakatan Harapan yang diketuai Liew dihalau sekumpulan pemuda ketika mengedarkan kurma di bazar Ramadan Kluang. Mereka pernah dihalau di bazar Ramadan sama pada 2014.

Liew dan Ketua Bahagian PPBM Kluang, Radzali Mohd Noor kemudiannya membuat laporan polis.

Susulan itu, 2 lelaki ditahan pada Ahad lalu untuk disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 kerana ugutan jenayah.

Semalam, Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim dilaporkan berkata, kemarahan yang tersimpan sejak 10 tahun lalu ialah punca pertembungan Pakatan Harapan dan sekumpulan pemuda di bazar Ramadan di Kluang, hujung minggu lalu.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mendakwa DAP meminta peniaga di Kluang menutup perniagaan mereka dan berpindah pada 2007.

DAP: Bukan kami, MCA yang mahu pindah bazar di Kluang

Umno: Diminta tutup 10 tahun lalu, peniaga Kluang masih marahkan DAP