Kami bersamamu, gereja Singapura beritahu umat Islam

nccs-muslimPETALING JAYA: Sebuah pertubuhan gereja di Singapura mengingatkan rakyat Singapura supaya tidak melihat masyarakat Islam secara negatif susulan penahanan wanita Syaikhah Izzah Zahrah Al Ansari kerana berkait ideologi IS.

Akhbar Straits Times memetik Majlis Kebangsaan Gereja Singapura yang mewakili lebih daripada 250 gereja di republik itu sebagai berkata penangkapan Izzah Zahrah tidak sepatutnya digunakan untuk mencetus Islamofobia.

Kementerian Dalam Negeri (MHA) mengumumkan Izzah, seorang penolong pengasuh kanak-kanak bayi berusia 22 tahun, ditahan awal bulan ini, atas tuduhan terpengaruh dengan dakyah radikal IS.

Majlis Gereja itu turut mengutus surat kepada mufti Mohamed Fatris Bakaram dan Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam Singapura (Muis), Abdul Razak Maricar.

“Tindakan beberapa pihak yang menyeleweng tidak boleh dilihat sebagai mewakili majoriti umat Islam di sini,” menurut surat itu, yang ditandatangani presidennya Rennis Ponniah dan setiausaha agung Ngoei Foong Nghian.

Majlis itu berkata masyarakat Islam Singapura sudah banyak menyumbang kepada kemajuan serta perpaduan negara itu.

“Majlis Kebangsaan Gereja akan terus menyokong dan berdoa untuk masyarakat Islam dalam masa yang sukar ini,” katanya, sambil menggesa rakyat Singapura bekerjasama memastikan tidak berlaku sebarang isu yang menjejaskan keharmonian dan keamanan negara.

Sementara itu, mufti Fatris dalam satu kenyataan menyeru umat Islam bersama-sama pihak berkuasa membanteras ideologi radikal di kalangan mereka.

“Walaupun susah, kita tidak harus berasa berat untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) untuk menyelamatkan orang tersayang,” katanya merujuk sebuah organisasi terdiri daripada agamawan yang memainkan peranan memulihkan bekas anggota kumpulan Jemaah Islamiah tidak lama dulu.