Kastam KLIA rampas hampir 300kg sisik tenggiling

kastam-sisikSEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan cubaan menyeludup 288kg sisik tenggiling bernilai kira-kira RM3.69 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Paddy Abd Halim berkata bertindak atas maklumat, pemeriksaan dijalankan ke atas 12 kotak disyaki membawa barang larangan import di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas, KLIA pada 9 Jun lepas.

Beliau berkata kotak tersebut dicatatkan mengandungi cangkerang tiram dalam surat muatan udara dengan alamat penerima di Ampang, Selangor adalah palsu.

“Kotak yang ditahan tersebut tiba melalui penerbangan Turkish Airlines dari Ghana ke KLIA sebagai destinasi akhir dituju,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan yang membawa hukuman denda minimum 10 kali ganda atau 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Paddy berkata ini adalah kes 3 melibatkan rampasan sisik tenggiling tahun ini.

Beliau berkata pengimportan sisik tenggiling dilarang di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012, Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian III kecuali dengan permit import dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Tambahnya, ia juga disenaraikan sebagai barang dilarang import di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan permit.