Kertas siasatan kes remaja didera sehingga mati otak hampir siap

Anuar-Omar_polis_dera

GEORGE TOWN: Kertas siasatan berhubung kes remaja dipukul sehingga cedera parah oleh sekumpulan remaja lelaki di Jalan Kaki Bukit awal pagi Sabtu lepas hampir siap, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar.

Beliau berkata sehingga kini polis mengambil keterangan daripada 9 individu termasuk doktor yang merawat mangsa.

“Reman terhadap 5 remaja berusia 17 hingga 19 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu tamat hari ini dan kami mendapatkan perintah lanjut reman sehari lagi ke atas 2 pelajar tingkatan 5 manakala 3 rakan mereka sehingga Jumaat ini.

“Polis akan lengkapkan siasatan dengan merekodkan beberapa lagi keterangan saksi dalam tempoh terdekat sebelum kami serahkan kertas siasatan itu kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam kejadian jam 2.10 pagi itu, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun cedera parah diserang sekumpulan lelaki manakala rakannya berusia 19 tahun sempat melarikan diri untuk meminta pertolongan.

Anuar berkata mangsa masih dirawat di Hospital Pulau Pinang dan doktor mengesahkan mangsa mati otak.

“Doktor memaklumkan kesan kecederaan pada dubur mangsa disebabkan tusukan objek tumpul seperti kayu atau botol dan kesan terbakar di belakang badan kerana dicucuh dengan puntung rokok,” katanya.

Beliau turut meminta keluarga mangsa membuat laporan polis jika diugut oleh suspek yang ditahan atau keluarga mereka seperti didakwa keluarga remaja lelaki berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Anuar berkata beberapa lelaki daripada 7 suspek yang direman dalam kes pemandu Uber cedera dipukul sekumpulan lelaki selepas didakwa mencabul wanita Vietnam di Paya Terubung baru-baru ini merupakan ahli kongsi gelap.

Beliau berkata suami wanita itu menggunakan khidmat kumpulan kongsi gelap untuk memukul pemandu Uber berusia 29 tahun itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang Selasa lepas, pemandu berkenaan dibelasah lebih 10 lelaki selepas didakwa mencabul wanita Vietnam itu ketika membawa wanita berkenaan dari Lintang Paya Terubong ke Agryll Road, Georgetown.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/13/remaja-didera-sehingga-mati-otak-mahu-jadi-komposer-terkenal/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/13/remaja-didera-sehingga-mati-otak-mahu-jadi-komposer-terkenal/