Mufti Selangor temui mufti WP atas arahan sultan

mufti

PETALING JAYA: Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid hari ini menemui Datuk Dr Zulkifli Mohamad atas arahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bagaimanapun, Tamyes enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Saya belum sempat menghadap tuanku, jadi tidak boleh menjelaskan apa-apa,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian susulan sekeping gambar yang dimuat naik ke Facebook mufti Wilayah Persekutan hari ini.

“Sohibus Samahah Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Sohibul Fadhilah Mohd Basori Umar KPP (Ketua Penolong Pengarah) Bahagian Dakwah Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) yang melakukan kunjungan hormat ke pejabat kami.

“Semoga tautan ukhwah Islamiah hingga ke jannah,” tulis Zulkifli di Facebooknya petang tadi.

Pertemuan itu dipercayai diadakan ekoran pembentangan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin bertajuk “Penyelewengan mufti Wilayah Persekutuan dan kaitannya dengan ajaran Wahabi” kepada Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada 7 Jun lalu, yang turut dihadiri Tamyes.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya belum membuat sebarang keputusan susulan pembentangan itu dan akan bertemu dengan Zulkifli.

Zamihan dilaporkan berkata, beliau dijemput untuk membentangkannya, namun menyerahkan soal tauliah Zulkifli kepada Mais.

Mufti Selangor hadir taklimat tuduh mufti WP ‘wahabi’