Pemandu Uber mengaku tak bersalah cabul wanita Vietnam

law_muhd

GEORGE TOWN: Seorang penyelia hotel yang bekerja secara sambilan sebagai pemandu Uber mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dakwaan mencabul kehormatan seorang wanita warga Vietnam.

Muhammad Sukri Ramli didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Tran Thi Thu Thuan, 43, dalam keretanya jenis Proton Saga dalam perjalanan ke Jalan Argyll pada jam 3.56 petang 6 Jun lalu.

Sukri mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan serangan atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang individu dengan niat mencabul kehormatannya di bawah Kanun Keseksaan.

Timbalan pendakwa raya, Nurul Izzah Shahruddin mencadangkan ikat jamin RM10,000 dan satu perintah supaya Sukri menjauhi Tran dan rumahnya.

Sukri yang tidak diwakili peguam meminta ikat jamin terhadapnya dikurangkan kerana dia adalah pencari nafkah tunggal untuk isteri dan anaknya.

Dia turut memberitahu mahkamah sedang mendapatkan khidmat nasihat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk penstrukturan semula kewangannya.

Majistret, Catherine Nicholas membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan Sukri melapor diri di Balai Polis Daerah Sungai Nibong setiap Isnin sehingga perbicaraan selesai.

Sukri juga diarah mendapatkan peguam sebelum perbicaraan seterusnya pada 18 Julai ini.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/09/saya-dipaksa-pegang-kemaluannya-kata-penumpang-uber/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/07/pemandu-uber-tunjuk-kemaluan-ditahan-disyaki-cabul-wanita/