Rahman: Cukai pelancongan perlu untuk kembang asas pendapatan

rahman-dahlanKUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mungkin tidak bersetuju dengan cara rakan sejawatan, Datuk Seri Nazri Aziz menangani isu berbangkit mengenai cukai pelancongan, tetapi beliau menyokong pelaksanaan cukai baharu itu.

Ahli Parlimen Kota Belud di Sabah itu berkata, ia perlu untuk mengembangkan asas pendapatan kerajaan.

Beliau percaya bantahan kerajaan Sabah dan Sarawak terhadap cukai itu berpunca daripada kurangnya penjelasan berhubung proses cukai itu.

“Ini ialah isu yang ditentukan dalam Kabinet dan seperti dikatakan Nazri, ia diluluskan di Parlimen.

“Masalahnya ialah apa yang diluluskan di Parlimen tidak dinyatakan dengan jelas kepada kerajaan negeri. Saya rasa itulah isunya,” katanya kepada wartawan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi berkata, cukai pelancongan mungkin “dinyatakan dengan sewajarnya” dalam mesyuarat Kabinet esok.

Pelaksanaan cukai pelancongan mulai 1 Julai akan menyaksikan hotel di seluruh negara dipaksa mengenakan bayaran RM2.50 hingga RM20 untuk penginapan semalaman.

April lalu, Nazri ketika berbahas di Dewan Rakyat untuk meluluskan Rang Undang-undang Cukai Pelancongan 2017 berkata, cukai itu boleh memberi kutipan RM654.62 juta jika kadar penginapan bagi keseluruhan 11 juta bilik di negara ini mencapai 60%.

Bagaimanapun, ada gesaan supaya cukai itu ditangguhkan sementara, sekurang-kurangnya di Sabah dan Sarawak.

Untuk itu, Rahman berkata, Nazri sudah menyuarakan kesediaannya mempertimbangkan penangguhan kutipan cukai itu jika ada perkara yang perlu ditangani terlebih dahulu.

“Tetapi, cukai itu adalah sesuatu yang kita perlukan. Sebagai menteri ekonomi, saya sendiri percaya ia adalah cukai yang baik dan tidak begitu membebankan. Ia (membabitkan) jumlah yang sangat kecil.

“Cukai itu perlu untuk mengembangkan asas pendapatan kita dan membantu industri pelancongan kita yang mengalami pemotongan bajet disebabkan kemerotan pendapatan kerajaan.”

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mendapat manfaat daripada cukai itu dalam bentuk sumbangan daripada kerajaan persekutuan.