Sarang IS wujud di hampir semua wilayah Indonesia

Jeneral-Gatot-Nurmantyo_isis_indonesia_600

JAKARTA: Sarang IS wujud di hampir semua wilayah di seluruh Indonesia, negara yang mempunyai paling ramai umat Islam di dunia, kata ketua tentera di Jakarta.

Jeneral Gatot Nurmantyo berkata, terdapat sarang sulit IS yang “tidak aktif” di seluruh Indonesia yang menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan pengaruh IS di Asia Tenggara.

“Hasil pemerhatian, kita nampak hampir setiap wilayah…ada sarang IS, tetapi ia sarang ‘tidak aktif’,” kata Nurmantyo kepada wartawan di Jakarta, semalam.

Bagaimanapun, katanya, wilayah Papua yang kebanyakan penduduknya ialah penganut Kristian terkecuali.

“Sarang IS ini boleh bergabung dengan sarang radikal lain dengan mudah.”

Kerajaan di rantau ini berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak militan dikaitkan dengan IS yang kebanyakannya dari negara Asia Tenggara, menyerang sebuah bandar di selatan Filipina kira-kira 3 minggu lalu.

Tentera Filipina yang melakukan serangan udara dan serbuan di bandar Marawi, pada Selasa berkata, kumpulan militan masih menguasai kira-kira 20% kawasan di bandar itu.

Pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia meningkatkan tahap keselamatan untuk mencegah militan yang melarikan diri dari Marawi, memasuki sempadan berhampiran Filipina.

“Senang untuk lari dari Marawi ke Indonesia dan kita semua perlu berhati-hati dengan pengaktifan sarang IS di Indonesia,” kata Nurmantyo.

Negara di Asia Tenggara percaya rantau ini mempunyai ribuan penyokong IS. Indonesia dan Malaysia menahan sejumlah suspek disyaki militan IS sejak kebelakangan ini.

Singapura pada Isnin mengumumkan penahanan seorang pembantu pusat penjagaan kanak-kanak yang disyaki cuba menyertai IS. Dia ialah wanita pertama di republik itu yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Serangan bom dan tembakan yang meragut 4 nyawa di Jakarta tahun lepas ialah serangan pertama IS di rantau ini.

Sejak itu, beberapa serangan kecil seperti insiden pengeboman berganda di stesen bas Jakarta yang membunuh 3 pegawai polis bulan lepas.