Shell terlebih caj harga petrol, KPDNKK belum putuskan hukuman

Hamzah-Zainudin_pdnkk_shell_600

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) belum memuktamadkan hukuman kepada Shell susulan mengenakan caj RM4.09 bagi seliter petrol, Mei lalu.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata walaupun syarikat terbabit sudah membuat penjelasan mengenai kesilapan mengenakan caj tinggi kepada pengguna, kes tersebut terlalu rumit untuk dijatuhkan hukuman dan memerlukan penelitian.

“Kes ini masih lagi dalam siasatan sebab kita memerlukan dokumen lengkap serta maklumat lain.

“KPDNKK tidak boleh terus hukum sekiranya berlaku kesalahan sebab kes ini terlalu rumit,” katanya semasa sidang media pengumuman Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) 2017 di kementeriannya hari ini.

23 Mei lalu, KPDNKK memaklumkan akan mengumumkan hukuman yang dikenakan kepada Shell dalam tempoh seminggu selepas mendengar penjelasan syarikat itu berhubung caj RM4.09 seliter petrol RON95 pada 19 Mei selepas ia tersebar di media sosial.

Sementara itu, Shell memberitahu FMT kesilapan harga RM4.09 selama sejam setengah pada awal pagi Khamis itu membabitkan 160 transaksi dan berjanji memulangkan lebihan wang yang dibayar pelanggan.

Mengulas lanjut, Hamzah menegaskan mana-mana syarikat minyak yang melakukan kesalahan sehingga membebankan pengguna tidak akan terlepas daripada menerima hukuman.

“Kita akan ambil tindakan kepada mana-mana syarikat minyak yang melakukan kesalahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan pengusaha stesen minyak untuk mencari mekanisma harga baru dalam menentukan kadar harga semasa petrol.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/23/ron95-dicaj-rm4-09-kpdnkk-akan-umum-hukuman-shell/