Umno bakal menang besar, ramal Syed Hamid

syed-hamid-umno

KUALA LUMPUR: Bekas orang kuat Umno Tan Sri Syed Hamid Albar meramalkan Umno akan menang lebih baik pada pilihan raya umum akan datang, dan keyakinan itu kerana rakyat melihat kestabilan politik dalam parti yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) itu.

“Macam-macam desakan, macam-macam perkara yang dilakukan (terhadap Umno) tetapi kemantapan dan kestabilan politik itu tidak goncang. Jadi lebih baik ada sesuatu yang mantap, yang kukuh,” kata bekas ahli Parlimen Kota Tinggi selama 5 penggal itu dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini.

Syed Hamid berkata masalah dalaman yang dihadapi Umno tidak memberikan kesan.

“Tapi ia ada haluan, ada kejelasan dari segi matlamat dan apa yang ia nak buat.”

Faktor kestabilan Umno itu dibantu dengan keadaan pembangkang yang tidak menentu, kata bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

“Rakyat nak perkara yang tentu, yang pasti,” katanya, yang bagaimanapun mengakui golongan muda juga mula mempersoalkan urus tadbir, ketelusan dan kebertanggungjawaban, dan ini perlu diuruskan Umno.

PAS dan Umno

Syed Hamid juga tidak terkejut dengan kemesraan di antara Umno dan PAS, kerana ia pernah berlaku dalam sejarah politik.

“Dulu pun kita biasa bekerjasama dengan PAS. Sampai PAS masuk dalam kerajaan. Jadi ini adalah satu perkembangan yang saya rasa tak usah nak berasa pelik kerana saya fikir pembangkang pun masa dia (PAS) bekerjasama, menguntungkan mereka pada tahun 2013.”

PAS yang enggan menyertai blok Pakatan Harapan bersama PKR, DAP, Amanah dan PPBM dilihat semakin rapat dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Syed Hamid berkata kerjasama antara Umno dan PAS adalah atas manfaat politik.

“Sebab itu mereka sokong menyokong dalam perkara-perkara asas yang mereka anggap penting,” katanya.

Pada pilihan raya umum 2013, Umno memenangi 89 daripada 121 kerusi Parlimen yang ditandinginya.