Ahli akademi gesa penyerang Nhaveen dikenakan tuduhan bunuh

shamsher_T-Nhaveen_dap_600GEORGE TOWN: Seorang pensyarah undang-undang menggesa mereka yang terbabit dalam serangan ganas terhadap seorang pemuda di Pulau Pinang baru-baru ini dikenakan tuduhan membunuh kerana tindakan mereka menyebabkan mangsa mengalami mati otak.

Shamsher Singh Thind, yang mengajar di universiti swasta, berkata oleh kerana kecederaan T Nhaveen menyebabkan mati otak, tiada sebab untuk polis berlengah mengelaskan kes itu sebagai bunuh.

“Seseorang yang ‘mati otak’ dalam istilah perubatan mengalami pemberhentian fungsi otak yang tidak boleh dipulihkan, apabila tiada aliran darah dan oksigen mencukupi dihantar ke otak.

“Saya tidak pasti bagaimana keadaan kesihatan Nhaveen sekarang tetapi jika dia memang ‘mati otak’ seperti yang dikatakan pemeriksa perubatan, maka polis perlu mengelaskan semula kes itu sebagai bunuh.

“Selain itu, doktor juga takut untuk mematikan mesin sokongan hayatnya kerana jika mereka berbuat demikian, mereka boleh dipersalahkan kerana menyebabkan kematian. Oleh itu, tindakan mematikan mesin tersebut memerlukan persetujuan keluarga terdekatnya.

“Pihak berkuasa hospital mesti menjelaskan apa jenis kerosakan otak yang dialami mangsa. Sesetengah pesakit boleh berada dalam keadaan koma sepenuhnya atau mungkin mengalami komplikasi lain,” kata Shamsher kepada FMT.

Shamsher berkata Akta Tafsiran perlu disemak semula untuk mentakrifkan seseorang yang mati otak sebagai mati, seperti di Singapura.

Beliau menjelaskan Tafsiran negara itu (Penentuan dan Perakuan Kematian) 1998 membentangkan 7 kriteria untuk menentukan keadaan mati otak.

Keadaan perubatan yang ditetapkan di bawah undang-undang itu ialah:

(A) anak mata berada dalam keadaan tetap dan tiada tindak balas kepada cahaya yang kuat;
(B) tiada tindak balas kornea;
(C) tiada tindak balas motor spontan kepada rangsangan yang menyakitkan, tidak termasuk tulang belakang;
(D) tiada tindak balas pergerakan muka ke kiri dan kanan;
(E) tiada tindak balas apabila salur pernafasan dirangsang;
(F) tiada tindak balas gegendang telinga apabila 50 sentimeter padu air berais dimasukkan secara beransur-ansur ke dalam setiap telinga;
(G) tiada pernafasan spontan walaupun dengan tekanan karbon dioksida pada kadar 50 milimeter atau terdapat lebih merkuri.