Amanah: Adakah Isa Samad kebal?

Salahuddin-Ayub-isaKUALA LUMPUR: Amanah menyifatkan Tan Sri Isa Samad seolah-olah “kebal” berikutan kemelut melanda Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV), sambil berkata institusi besar seperti Felda seharusnya dipimpin tokoh yang berwibawa.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata Isa kini berada dalam kedudukan istimewa di mata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya nak tanya kepada perdana menteri, apakah dia (Isa) kebal? Apa yang istimewa sangat tentang dia sehingga kedudukannya sampai sekarang masih dipelihara?” katanya pada sidang media di ibu pejabat Amanah hari ini.

Beliau berkata kemelut sekarang tidak seharusnya melanda institusi sebesar Felda.

“Yang menjadi mangsa adalah peneroka Felda, Isa Samad masih tidak dikenakan tindakan,” katanya.

FGV terpalit skandal apabila 4 pegawai tingginya, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Zakaria Arshad dipaksa bercuti serta merta sementara menunggu siasatan dalaman berhubung kejanggalan pembayaran syarikat Afghanistan, Safitex Trading LLC kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Pertelingkahan kemudian tercetus antara Zakaria dan Isa. Zakaria yang pada asalnya enggan tunduk kepada permintaan ahli lembaga pengarah FGV untuk letak jawatan kemudiannya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dalam syarikat itu.

Semalam, FGV mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Zakaria dan Ketua Pegawai Kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha berhubung hutang tertunggak Safitex dengan Delima Oil.

Salahuddin menganggap Zakaria Arshad dikambinghitamkan oleh Isa.

“Saya tidak rasa orang yang sarat dengan rekod buruk akan berani bawa dokumen dan bukti kepada SPRM,” katanya.

Beliau mahu jawatankuasa bebas disertai firma audit bebas ditubuhkan untuk melakukan audit terhadap pengurusan dan kewangan institusi itu.