DAP gesa pemimpin Umno Johor minta maaf tuduh bantah bazar Ramadan

Sheikh-Omar-Ali-ganPETALING JAYA: DAP hari ini menggesa pemimpin Umno Johor meminta maaf secara terbuka kepada parti itu kerana menuduh mereka membantah dan mendesak pemindahan bazar Ramadan di Kluang 10 tahun lalu.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali mengulas kenyataan Pengerusi MCA Bahagian Kluang, Gan Ping Sieu yang mengingatkan parti itu supaya tidak mengheret MCA dalam isu bazar Ramadan di daerah itu.

Semalam, Gan yang juga bekas adun Mengkibol di Parlimen Kluang dilaporkan berkata, ia adalah tugasnya sebagai wakil rakyat untuk menyuarakan kebimbangan peniaga berhubung kesesuaian lokasi bazar Ramadan itu dan mencari alternatif lain, pada 2007.

Gan berkata demikian susulan penafian Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong yang DAP meminta bazar Ramadan di Kluang dipindahkan pada 2007, sebaliknya mendakwa MCA ialah dalang di sebalik tindakan itu.

Hari ini, Omar dalam satu kenyataan berkata, kenyataan bekas naib presiden MCA itu menjadi asas dan bukti Setiausaha Umno Johor merangkap Ketua Umno Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berbohong.

“Perkara ini sangat mendukacitakan. Saya ingin bertanya kepada Jais dan Razali, di manakah letaknya kredibiliti anda sebagai seorang pemimpin politik dan masyarakat? Anda sanggup memfitnah, menyebarkan pembohongan. Di mana maruah anda?

“Pemimpin yang sanggup berbohong dan memfitnah tidak wajar sama sekali memegang amanah kepimpinan. Lebih baik mereka letak jawatan sahaja. Saya minta Jais dan Razali memohon maaf secara terbuka terhadap fitnah yang telah dilakukan.”

Beliau berkata, Jais dan Razali juga perlu minta maaf kepada rakyat kerana tindakan mereka memalukan imej orang Melayu, umat Islam dan rakyat secara umumnya.

“Mereka juga seolah-olah dengan mudahnya merendah-rendahkan kebijaksanaan rakyat dalam menilai perkara sebenar.”

Sabtu lalu, pasukan petugas Pakatan Harapan yang diketuai Liew dihalau sekumpulan pemuda ketika mengedarkan kurma di bazar Ramadan Kluang. Mereka pernah dihalau di bazar Ramadan sama pada 2014.

Isnin lalu, Jais dipetik Berita Harian berkata, kekecohan berlaku di bazar Ramadan sama tahun lalu ketika DAP hendak mengedarkan kurma dan parti itu yang tidak belajar daripada pengalaman lampau, seolah-olah sengaja menguji kesabaran masyarakat serta peniaga Melayu.

Exco Johor itu berkata, isu sebenar bermula pada 2007 apabila DAP meminta bazar Ramadan Bandar Kluang dipindahkan dari kawasan sedia ada ke lokasi lain, menyebabkan peniaga Melayu yang marah membuat bantahan.

Ia disusuli sokongan Razali kepada Jais yang berkata, kemarahan tersimpan sejak 10 tahun lalu ialah punca pertembungan Pakatan Harapan dan sekumpulan pemuda di bazar Ramadan di Kluang, Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Muar itu mendakwa DAP meminta peniaga di Kluang menutup perniagaan mereka dan berpindah pada 2007.

Katanya, bazar Ramadan itu dikendalikan Umno Kluang dan sesetengah peniaga menjual kurma.

“Ia mungkin menjejaskan perniagaan mereka. Kalau kita saling hormat-menghormati tidak akan berlaku masalah.”

Rakaman video kekecohan Sabtu lalu menunjukkan sekumpulan pemuda terjerit-jerit sambil menghalang pasukan petugas Pakatan Harapan memasuki bazar itu. Liew dan Ketua Bahagian PPBM Kluang, Radzali Mohd Noor kemudiannya membuat laporan polis.

Susulan itu, 2 lelaki ditahan pada Ahad lalu untuk disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 kerana ugutan jenayah.

‘Jangan heret MCA dalam isu bazar Ramadan Kluang’

DAP nafi pernah bantah bazar Ramadan di Kluang

Umno: Diminta tutup 10 tahun lalu, peniaga Kluang masih marahkan DAP