Di Sabah, 270 keluarga tiada kerakyatan hidup dengan sampah 30 tahun

landfill-4SANDAKAN: Kira-kira 270 keluarga miskin dan tiada kewarganegaraan menjadikan sebuah tapak pelupusan sampah di Batu 8 berhampiran sini sebagai rumah mereka sekitar 30 tahun.

Tapak itu ialah satu-satunya tempat perlindungan untuk keluarga tiada dokumen itu, selepas mereka dihantar pulang ke Filipina dan kemudiannya kembali semula ke Sabah.

Mereka dihantar kembali ke Sabah selepas ditahan dalam depot imigresen di Filipina selama setahun dan tiada orang datang mengambil mereka di sana.landfill-1

Sukarelawan kemanusiaan, Yunizam Yusop, 29, berkata kawasan setinggan didiami keluarga terbabit kira-kira 1km panjang.

Penguatkuasa membiarkan mereka di tapak pelupusan itu dan keluarga-keluarga itu juga tidak berani keluar dari sana kerana takut ditahan dan dihantar ke Filipina sekali lagi.

“Kebanyakan keluarga itu tiada dokumen. Mungkin 20-30 orang ada kad IMM13 (dokumen pengenalan dikeluarkan kepada pelarian Filipina yang dihentikan pengeluaran pada 2013), tetapi ia mungkin sudah luput,” kata Yunizam, yang merupakan penduduk tempatan Sandakan.

“Mereka mencari pendapatan dengan aktiviti pengitaran semula. Mereka dapat RM2 hingga RM4 sehari melalui kerja ini.landfill-5

“Yang paling tua di kalangan mereka kira-kira 80 tahun dan ada ramai kanak-kanak. Mereka sangat miskin. Mereka sara diri dengan mencari sisa makanan dalam sampah. Mereka turut mengambil ayam-ayam busuk di pasar yang ditolak peniaga.”

Yunizam, rakannya dan beberapa NGO mengeluarkan wang sendiri untuk membeli makanan serta minuman sebelum Ramadan bermula, tetapi sumbangan itu akan habis tidak lama lagi.

“Kami perlu lebih banyak lagi. Saya anggarkan kami perlu kira-kira RM1,500 untuk membeli 300 bungkusan makanan bagi keluarga itu bersahur dan berbuka puasa ketika Ramadan.

“Ada orang mahu mahu menderma, tetapi mereka syaki kejujuran kami. Tak apa. Saya boleh tunjuk beberapa dokumen untuk membuktikan keikhlasan kami. Saya akan mulakan kempen mengutip derma di Facebook esok (Rabu).”landfill-2

Beberapa orang doktor meluangkan masa untuk merawat keluarga tiada kerakyatan itu, manakala Suruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) membantu dalam hal yuran pesakit luar hospital mereka.

“Beberapa doktor dari hospital kerajaan pergi ke tapak pelupusan itu untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan dan memberi vitaman serta ubat cacing percuma.

“UNHCR menyediakan surat memohon diskaun dari pihak hospital untuk keluarga tiada kerakyatan itu, apabila mereka pergi ke hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan.”landfill-3

Yunizam berkata, masyarakat sepatutnya bersikap lebih prihatin untuk membantu meringankan kesusahan mereka, tetapi beliau tidak tahu cara menamatkan penderitaan mereka selama-lamanya.

“Saya harap lebih ramai orang akan datang membantu keluarga ini. Sesetengah orang mempersoalkan apa yang saya buat dan kata saya perlu jaga keluarga saya terlebih dahulu.

“Kadangkala saya fikir bagaimana saya boleh menyelesaikan masalah kefakiran mereka sekaligus, tetapi tidak banyak yang mampu saya lakukan seorang. Tiada bantuan daripada pihak lain, selain beberapa NGO dan rakan prihatin.

“Saya melakukan ini kerana kemanusiaan. Saya tahu mereka bukan warga Malaysia, tetapi mereka manusia juga.”