Guan Eng: Tak terkejut jika pembangkang didakwa dibiaya tauke judi

guan-eng-zahid-hamidiGEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak terkejut jika pembangkang dituduh menerima pembiayaan politik daripada tauke judi seperti dinyatakan timbalan perdana menteri, semalam.

Lim berkata, walaupun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menamakan parti politik terbabit atau menunjukkan bukti bagi menyokong dakwaannya, ia jelas kenyataan itu boleh digunakan untuk memburuk-burukkan Pakatan Harapan.

“Zahid memberi kenyataan sangat umum. Beliau patut mendedahkan parti mana yang menerima wang tersebut.

“Tetapi, kita semua tahu…seperti biasa, parti pembangkang akan kena (dituduh). Ia sentiasa dan lebih kerap jari dituding ke arah pembangkang,” katanya di Komtar hari ini.

Semalam, Zahid dilaporkan berkata, beliau bimbang dengan tindakan “tauke judi” membiayai parti politik menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Ini bukan tuduhan, cuma dikhuatiri (berlaku pembiayaan parti politik),” kata menteri dalam negeri itu tanpa memberi butiran atau menyatakan parti mana terlibat, tetapi mengarahkan polis mengambil tindakan keras terhadap kegiatan perjudian sedemikian.

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, pendirian kerajaan negeri sangat jelas terhadap aktiviti perjudian dan kasino di negeri itu.

Katanya, Pulau Pinang tidak pernah membiarkan kegiatan itu di negeri tersebut, apatah lagi membenarkan mereka beroperasi.

Beliau berkata, kuasa memberi lesen perjudian terletak di tangan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak mempunyai hak mengenainya.

“Kami tidak mengeluarkan lesen judi, kami menentang sekeras-kerasnya premis seperti itu di Pulau Pinang.

“Malah, seorang ahli Parlimen Umno dari Kedah yang mencadangkan kasino dibuna di Pulau Pinang sebelum ini, bukannya kami.”

 

Zahid bimbang tauke judi biaya parti politik