Hentikan ujian darah sembarangan, gesa persatuan perubatan

mma-blood-test

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata kementerian kesihatan tidak boleh berlengah melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Makmal Patologi 2007 bagi melindungi pesakit daripada menjalani ujian darah secara “sembarangan dan tidak munasabah”.

Presiden MMA Dr Ravindran R Naidu berkata makmal swasta di seluruh negara menawarkan ujian itu kepada orang awam, syarikat, sekolah, bank dan juga pusat membeli-belah, selalunya pada harga diskaun untuk menjadikannya lebih menarik.

“Tidak ada tempat untuk menjalankan deretan ujian rutin terhadap orang tanpa gejala, khususnya, ujian rutin penanda kanser tanpa sebarang gejala atau tanda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ujian sembarangan boleh mencetuskan tanda palsu kerana beberapa ujian mungkin menunjukkan keputusan tidak normal pada orang yang benar-benar sihat.

Beliau menambah perkara itu terutamanya bersangkut-paut dalam kes ujian rutin penanda kanser, di mana keputusan tidak normal biasanya tanda-tanda palsu.

“Tanda-tanda palsu yang dicetuskan oleh ujian darah sembarangan akan melibatkan perasaan bimbang yang kuat, dan kadang-kadang pesakit akan mengambil berbilang ujian invasif yang boleh memudaratkan semata-mata untuk membuktikan tanda palsu itu.”

Ujian darah sembarangan juga boleh mewujudkan percanggahan kepentingan untuk para doktor yang bekerja di makmal, yang atas perasaan mahu membantu mengarahkan ujian itu sebagai sebahagian daripada tugas mereka, tambah Ravindran.

Beliau berkata beberapa makmal menjual vitamin dan suplemen pemakanan kepada pesakit yang menerima keputusan ujian yang tidak normal.

“Amalan ini boleh membahayakan kesihatan pesakit yang dengannya keperluan mendapatkan rawatan sewajarnya mungkin akan diabaikan,” katanya.

Beliau merujuk Akta Makmal Patologi yang diluluskan hanya 24 tahun selepas ia mula dicadangkan pada 1983, dan bertanya berapa lama rakyat Malaysia harus menunggu sebelum akta itu dilaksanakan.

“Akta ini bertujuan untuk memastikan perkhidmatan ujian makmal bertanggungjawab kepada orang ramai, memenuhi piawaian amalan yang dikehendaki, mengambil bahagian dalam program jaminan kualiti, dikendalikan kakitangan berkelayakan, mematuhi keperluan keselamatan dan tertakluk kepada audit secara berterusan.

“Kami masih menunggu peraturan itu dimuktamadkan serta pelaksanaannya. Sementara itu, kemudaratan terhadap kesihatan orang awam akibat amalan makmal yang tidak dikawal akan berterusan.”

Memandangkan akta itu yang diluluskan pada 2007 sudah genap 10 tahun, beliau menggesa kementerian kesihatan untuk melaksanakannya dengan segera demi kepentingan kesihatan awam.