Hishammuddin: Malaysia lancar rondaan udara kekang ancaman IS

hishamuddin-isis

KUANTAN: Malaysia akan melancarkan rondaan udara bersama Filipina dan Indonesia dalam usaha mengekang ancaman kumpulan pengganas IS di rantau ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kerjasama itu akan dilaksanakan sejurus rondaan laut bersama dilancarkan pada 19 Jun ini di perairan Mindanao, Filipina.

“Kementerian Pertahanan peringkat negara Asean bertekad hadapi ancaman kumpulan pengganas IS di negara ini dan selepas melancarkan rondaan laut bersama nanti, kita juga akan melancarkan rondaan bersama di ruang udara.

“Pelan kerjasama ini terbukti berjaya ketika Malaysia, Singapura dan Indonesia berdepan ancaman lanun dan jenayah lain di perairan Selat Melaka, suatu ketika dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis ramah mesra dan berbuka puasa bersama 145 pegawai dan anak kapal KD Lekiu di perairan Laut China Selatan, kira-kira 10 batu nautika dari Pangkalan Tanjung Gelang, pada Selasa.

Turut hadiri ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Beliau sebelum itu turut beramah mesra dan menyampaikan sumbangan berbuka puasa kepada sebuah bot nelayan di perairan berkenaan.

Hishammuddin selepas itu turut menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama anak kapal sebelum menikmati kudapan bersama 400 anggota Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Tanjung Gelang.