Ibu bapa Thaqif redha tetapi tagih jawapan

thaqif-parents

PETALING JAYA: Selepas hampir 2 bulan pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi meninggal dunia selepas dakwaan dipukul sehingga menyebabkan jangkitan, ibu bapanya berharap dapat mengetahui punca sebenar kematian anaknya.

Ibu Thaqif, Felda Wani Ahmad, berkata selepas anaknya meninggal dunia pada 26 April, sehingga kini tiada laporan penuh punca kematian dimaklumkan kepadanya.

“Saya harap keputusan telus. Kita nak tahu punca sebenar dan kalau bukan kerana sebatan, kita nak tahu apa tindakan seterusnya.

“Kami semua memang menunggu laporan perubatan. Selagi laporan perubatan tidak keluar, kita tidak boleh buat apa-apa lagi,” katanya kepada FMT.

Bagi bapanya, Mohd Gaddafi Mat Karim, apa yang berlaku adalah takdir, tetapi pelbagai soalan masih belum terjawab.

“Kita pun tertanya sebab kematian Thaqif. Sebab dia memang tidak ada penyakit seperti kencing manis atau sebagainya.

“Kita redha, tetapi bagi saya jika penyakit dari tapak kaki, kenapa potong sampai ke atas,” katanya kepada FMT.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramanian berkata laporan bedah siasat kaki Thaqif akan diketahui dalam tempoh 1 hingga 2 minggu lagi.

Beliau berkata ia kerana Hospital Sultan Ismail sedang melakukan siasatan kedua selepas meneliti laporan bedah siasat kaki pelajar berkenaan.

Thaqif, 11 yang kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman yang didakwa kesan dipukul pembantu warden asrama sekolah tahfiz, meninggal dunia pada 26 April lepas.

Beliau dimasukkan ke hospital kerana kesihatannya merosot selepas dibawa keluar dari sekolah tahfiz di Kota Tinggi itu pada 31 Mac.

Polis menahan pembantu warden lelaki berusia 29 tahun tersebut untuk membantu siasatan, bagaimanapun dia dibebaskan pada 3 Mei lalu dengan jaminan bon mahkamah RM20,000.

Jumaat lepas, media melaporkan keluarga Thaqif mempersoalkan mengapa bedah siasat tidak dilakukan terhadap kaki kanak-kanak itu pada peringkat awal siasatan kematian.