KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengakui beliau dan keluarganya mengenali Gopinathan Krishnan, lelaki yang disyaki menjadi orang tengah dalam sindiket antara polis dan aktiviti perniagaan haram di Melaka.
“Ya, saya dan keluarga mengenalinya,” katanya, sambil menambah ia tidak bermakna orang itu terlepas daripada tindakan sekiranya terlibat jenayah.
“Orang yang mengenali saya dan juga ahli keluarga saya yang melakukan aktiviti haram, perlu menjawab.
“Gopi, jika dia melakukan apa-apa yang di luar undang-undang, saya akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya hari ini.
Bulan lalu, Gopinathan dan 10 lagi termasuk 2 ketua polis daerah ditangkap SPRM disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah melibatkan judi dan rumah urut haram di Melaka.
Susulan itu, laman Sarawak Report mengaitkan Gopinathan dengan Khalid, dan mendakwa mempunyai dokumen membuktikan lelaki berusia 32 tahun itu berhubung dengannya melalui telefon.
Khalid berkata ramai mengetahui nombor telefonnya dan menghubunginya.
Apabila ditanya sejauh mana persahabatan beliau dengan Gopinathan, Khalid menjawab:
“Mengapa perlu tanya sehingga ke situ? Sekarang, kamu tanya, berapa rapat kita berdua? Boleh pegang tangan? Boleh cium? Tolonglah munasabah.”
Sebelum ini, laman Sarawak Report mendakwa Gopinathan pernah menghubungi ipar Khalid, Mohd Isa Hussin yang menjalankan perniagaan senjata api di bawah syarikat Nilai Arms.
Khalid berkata Sarawak Report mempunyai agendanya sendiri, dan tuduhan terhadapnya bukan pertama kali dibuat oleh editor laman itu, Clare Rewcastle-Brown.